Sabtu, 17 Jun 2017

Tubuh dan Darah Kristus

Kata-kata adalah mudah dan murah. Orang boleh berkata serta berjanji apa saja dan segala-galanya, tetapi apa yang mereka katakan akan menjadi kata-kata semata-mata, jika tidak ada tindakan. Sebagai contoh, seseorang boleh berkata: "Saya cinta kamu." Tetapi adakah dia bermaksud dengan apa yang dia katakan? Lagipun, kita mendengar perkataan "Saya cinta kamu" pada banyak tempat, seperti dalam iklan, TV, pawagam, sehingga perkataan tersebut seolah-olah kehilangan makna atau signifikan. Oleh itu, bagi kebanyakan kita, kita tidak hanya mahu mendengar kata-kata itu, kita mahu bukti melalui tindakan. Hanya melalui tindakan, kita dapat mempercayai atau menjadi yakin bahawa seseorang itu benar-benar mencintai kita.

Hari ini kita merayakan Hari Raya Corpus Christi (Tubuh dan Darah Kristus). Hari ini kita mengingati janji Yesus bahawa Dia mengasihi kita. Janji-Nya bukan sekadar kata-kata, tetapi ditunjukkan dalam tindakan-Nya. Yesus membuktikan kasih-Nya untuk kita dengan memberi kita tubuh dan darah-Nya sendiri, dengan mengorbankan nyawanya sendiri demi kita untuk menyelamatkan kita dari dosa-dosa kita. Setiap kali kita datang untuk menerima tubuh Yesus di Misa; setiap kali kita datang untuk memuja Yesus dalam Sakramen Mahakudus, kita percaya bahawa, melalui Yesus, kita adalah penting, kita adalah istimewa, kita dicintai oleh Allah.

Tetapi kadang-kadang, sesetengah kita mungkin tidak menghargai kasih Allah yang amat besar kepada kita. Sebahagian daripada kita mungkin tidak bersedia dengan baik untuk Misa, dengan pergi untuk pengakuan, dengan berpuasa sejam sebelum menerima Komuni Kudus, dengan meluangkan masa dalam doa dan renungan, dengan berpakaian terbaik pada hari minggu. Sebahagian daripada kita hanya datang ke gereja dan menerima Komuni Kudus begitu sahaja, tanpa memastikan bahawa kita adalah bersih dan bersedia dari segi fizikal dan rohani. Jika kita pergi bertemu seorang raja atau royalti atau VIP tertentu untuk majlis makan malam rasmi atau majlis rasmi, sudah tentu kita akan mempersiapkan diri untuk memberi tanggapan yang baik serta menunjukkan bahawa kita mempunyai akhlak yang baik dan didikan yang betul. Bagaimana pula dengan Misa? Adakah kita melakukan perkara yang sama?

Hari ini, marilah kita berterima kasih dan bersyukur bahawa Tuhan amat mengasihi kita. Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengurniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal. Yesus sangat mengasihi kita sehingga Dia memberi kita Tubuh dan Darah-Nya, setiap kali kita menerima Komuni Kudus di Misa. Semoga kita menunjukkan kasih kita, dengan menjadi lebih bersedia, dan dengan menjadi ikhlas dalam kasih kita terhadap orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...