Sabtu, 11 November 2017

Minggu Biasa Ke-32 Tahun A

Adakah ahli perniagaan yang berjaya dianggap bijak? Bagaimana pula dengan para Profesor Universiti? Adakah mereka dianggap bijak? Jika seseorang mempunyai PhD atau akademik kedoktoran dalam bidang pengkhususan tertentu, adakah orang itu dianggap bijak? Nampaknya ramai antara kita menyamakan kebijaksanaan dengan pengetahuan, kecerdikan dan mahir dalam hal ehwal perniagaan. Seseorang yang tahu bagaimana untuk berjimat, bagaimana untuk membuat pelaburan yang baik, orang yang menjadi kaya hasil daripada ketekunan dan kepintaran, yang mempunyai ramai kawan dan rakan sekerja yang berpengaruh, atau pun orang yang mempunyai pengikut yang ramai, seolah-olah dianggap ramai sebagai bijak. Namun apakah sebenarnya kebijaksanaan?

Kebijaksanaan mengingatkan kita bahawa perkara yang paling penting dalam hidup bukan sahaja mempunyai rakan taulan, atau mempunyai ramai anak atau cucu, mahupun mempunyai kemakmuran dan nasib baik. Semua ini tidak kekal, sementara dan tidak dapat dibawa bersama kita apabila kita mati. Sebaliknya, apabila kita mula sedar bahawa iman dan kepercayaan kepada Tuhan yang benar-benar penting, apabila mencari khazanah di syurga dan bukannya memfokus hanya pada khazanah duniawi, barulah kita mula memahami dan berusaha ke arah kebijaksanaan yang sebenar.

Apabila merujuk kepada pelaburan duniawi, ramai di antara kita seolah-olah bersedia untuk membuat pelbagai persediaan dan pengorbanan, semata-mata demi menyediakan hidup yang lebih senang untuk diri kita sendiri, anak-anak kita dan optimis bagi keturunan kita. Namun berapa ramaikah di antara kita telah membuat persediaan dan pengorbanan, tatkala merujuk pada pelaburan kerohanian? Kita kelihatan begitu bersemangat untuk membuat persediaan terhadap segala kemungkinan dalam hidup ini, tetapi bagaimana bersedianya kita dalam persediaan untuk kematian dan hidup yang kekal? Dalam Injil hari ini, kita melihat satu contoh bagaimana kemungkinan bersedianya kita. Dalam Injil, Yesus membezakan pengapit pengantin perempuan yang bodoh dengan yang bijak. Mereka yang bijak akan bersedia untuk bertemu pengantin lelaki pada bila-bila masa. Mereka yang bodoh pula menyangka bahawa mereka mempunyai minyak yang cukup, mereka mempunyai masa yang cukup. Tetapi masa tidak menunggu kita, dan jika kita tidak bersedia atau berhati-hati, kita mungkin mendapati diri di luar pintu, seperti apa yang telah berlaku kepada pengapit pengantin perempuan yang bodoh dalam perumpamaan tersebut, kerana kita tidak mempunyai minyak yang cukup untuk membakar pelita kita.

Justeru marilah kita berusaha ke arah kebijaksanaan yang sebenar, dengan melabur untuk kehidupan kekal. Marilah kita bersiap sedia untuk bertemu dengan Tuhan pada bila-bila masa, tatkala Yesus mengingatkan kita dalam Injil: "Kerana itu, berjaga-jagalah, sebab kamu tidak tahu akan hari maupun akan saatnya." Semoga kita tidak akan ditangkap off-guard atau tidak bersedia, kerana masa depan dan kebahagiaan kekal kita jelas menjadi pertaruhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...