Setiap kita mempunyai kebolehan dan bakat yang unik dalam diri kita. Tiada salinan memandangkan kita adalah berbeza dan istimewa dalam imej Tuhan.Seperti Santo Paulus dalam bacaan kedua memberitahu kita: " Ada berbagai-bagai kurnia, tetapi satu Roh; ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi satu Tuhan; ada berbagai-bagai perbuatan ajaib, tetapi Allah adalah satu yang mengerjakan semuanya dalam semua orang." Ini bermakna, tanpa mengira berapa banyak atau sikitnya bakat yang kita mungkin ada, semua bakat ini bertujuan memuliakan Allah, bukannya disimpan untuk diri kita sendiri. Tetapi persoalannya ialah: Adakah kita melihat pelbagai bakat dimanifestasikan dalam cara yang berbeza dalam paroki kita? Adakah kita melihat roh Tuhan bekerja dalam paroki kita melalui kebanyakan orang yang sukarela dalam ministri? Adakah anda menggunakan bakat anda untuk berkhidmat pada komuniti dan gereja?
Allah telah memberikan setiap kita bakat dan kebolehan untuk membantu gereja dan komuniti Kristian berkembang dan matang. Isunya ialah, kadangkala kita mengecewakan Tuhan dan komuniti, terutamanya apabila kita tidak mengiktiraf bakat kita serta bakat orang lain dalam komuniti. Sesebuah komuniti hanya boleh berkembang jika ahli-ahlinya dapat mengenali bakat mereka masing-masing dan mengakui bakat orang lain. Sesebuah komuniti berada dalam bahaya perpecahan apabila ahli-ahlinya hanya sentiasa mengharapkan sesuatu daripada orang lain dan tidak bersedia untuk memberi atau berkongsi; apabila ahli-ahlinya sentiasa mengkritik dan menyalahkan antara satu sama lain; apabila bakat ahlinya disekat bukannya dikenalpasti dan dipupuk.
Dalam Al-Kitab hari ini, kita diingatkan tentang kisah perkahwinan di Kana. Sambutan yang meriah ini hampir berakhir dengan kegagalan kerana mereka kekurangan anggur. Kadangkala dalam gereja-gereja kita, kita melihat orang yang sama berkhidmat tahun demi tahun dalam gereja tanpa sebarang pengganti, perubahan atau orang baru. Kita mula berfikir bahawa "kita kehabisan anggur" memandangkan tiada pemimpin-pemimpin baru dan tiada ahli-ahli baru. Dalam Perjanjian Lama, orang Israel juga berpendapat bahawa kemusnahan negara mereka bermakna berakhirnya segala-galanya. Tetapi pemikiran tersebut adalah salah, memandangkan Yesaya dalam bacaan pertama memberi mesej harapan. Semua tidak hilang kerana Allah akan membebaskan mereka. Ini menyedarkan orang Israel bahawa kemuliaan dan nikmat datang semata-mata dari Allah sahaja. Hanya Tuhan yang dapat memastikan "tidak akan kehabisan anggur."
Maka, apa yang perlu kita lakukan? Kita perlu sedar bahawa masyarakat Kristian kita masih mempunyai banyak peluang untuk berkembang dan menjadi lebih teguh. Kita mesti sedar bahawa kita memerlukan hati yang taubat. Kita perlu meletak Allah itu kembali ke pusat hidup kita. Jika kita telah menjadi leka dan berpuas hati dengan apa yang kita ada, sudah tiba masanya untuk bangun. Ia tidak cukup untuk mengekalkan perkara-perkara yang kita ada atau terus kekal pada status quo. Komuniti dan gereja mesti berkembang, dan kita mesti menggalakkan dan memupuk pemimpin baru dan dan ahli-ahli baru untuk mengambil alih; jika tidak, komuniti kita akhirnya akan pupus. Marilah kita berdoa agar komuniti kita akan diperbaharui oleh Roh Kudus dengan harapan kita akan mengenali bakat kita dan orang lain, serta bagaimana kita boleh menggunakan bakat ini untuk berkhidmat kepada gereja dan untuk kemuliaan Allah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Minggu Biasa Ke-6 Tahun B
Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...
-
Dari usia muda, kebanyakan kita akan diperkenalkan dengan peraturan dan undang-undang di rumah. Kita akan dididik dengan apa yang boleh dite...
-
Berapakah jumlah kegembiraan di dalam hati kita? Adakah kita orang yang gembira, atau adakah kita menjadi terlalu sibuk dengan begitu banyak...
-
Sejak berkurun-kurun dan dekad lamanya dalam sejarah manusia, kita telah melihat banyak kegusaran, kebencian, dendam, tentangan, keingkaran,...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan