Sabtu, 28 Januari 2017

Minggu Biasa Ke-4 Tahun A

Dari usia muda, kita sentiasa diajar dan diingatkan agar kuat dan berani mempertahankan hak-hak kita. Kita terdedah pada persekitaran di mana kita perlu menjadi yang terbaik, jangan pernah kalah, bertindak agresif untuk melindungi apa yang kita fikir adalah hak kita, serta berkeras dan tahan lasak bagi mengelak orang lain mengambil kesempatan terhadap kita. Semua perkara tersebut mengajar kita agar menjadi "bijak" dalam urusan duniawi, supaya kita dapat hidup makmur di dunia ini.

Namun, Injil pada hari ini melakar kita satu set nilai yang berbeza: nilai-nilai Kerajaan Syurga atau perumpamaan. Sebalik daripada menjadi yang terbaik, jangan pernah kalah, agresif, kasar dan tahan lasak; Injil memberitahu kita: "Berbahagialah orang yang miskin; berbahagialah orang yang lemah lembut; berbahagialah orang yang berdukacita; berbahagialah orang yang lapar dan haus akan kebenaran; berbahagialah orang yang murah hatinya; berbahagialah orang yang suci hatinya; berbahagialah orang yang membawa damai; berbahagialah orang yang dianiaya." Nampaknya seolah-olah orang yang lemah, tidak berdaya itu, lemah lembut dan orang yang sabar menanggung penderitaan atau penganiayaan yang diberkati. Jika kita berfikir seperti orang lain di dunia, maka sudah tentu nilai-nilai seperti ini kelihatan sukar atau mustahil untuk difahami ataupun diikuti. Tetapi jika kita melihat pada bacaan kedua, St Paulus mengingatkan kita: "Tetapi apa yang bodoh bagi dunia, dipilih Allah untuk memalukan orang-orang yang berhikmat, dan apa yang lemah bagi dunia, dipilih Allah untuk memalukan apa yang kuat, dan apa yang tidak terpandang dan yang hina bagi dunia, dipilih Allah, bahkan apa yang tidak bererti, dipilih Allah untuk meniadakan apa yang bererti." Apabila kita membenarkan diri kita dikuasai dengan kuasa, keganasan, kebencian dan dendam, kita hanya akan mengalami perkara yang sama - kuasa, keganasan, kebencian dan dendam.

Jadi bagaimana kita melepaskan diri kita daripada kemungkinan huru-hara dan lingkaran dahsyat merangkumi ketakutan, ketidakpercayaan dan pemeliharaan diri? Yesus memberi jawapannya, dengan mengajar kita satu set nilai alternatif dalam Injil hari ini. Nilai-nilai ini akan mengubah dunia kita ke Kerajaan Allah, kerajaan yang damai, bahagia dan kasih sayang. Yesus menyangkal nilai tamak dengan nilai-nilai kesederhanaan; nilai kuasa dengan nilai-nilai kelemahan; nilai ingin membalas dendam dengan nilai-nilai belas kasihan dan keampunan; nilai kecurangan dengan nilai-nilai kejujuran; nilai keganasan dengan nilai-nilai kedamaian. Sesetengah mungkin berkata: "Tetapi semua nilai-nilai ini kedengaran mustahil atau tidak mungkin untuk kita, manusia lakukan. Yesus adalah berbeza, kerana Dia adalah Allah." Tetapi kita tidak boleh lupa bahawa Yesus adalah Allah yang menjadi manusia seperti kita. Sepanjang hidup dan ministri-Nya, Dia menunjukkan kepada kita bagaimana untuk menjadi rendah hati, tidak berkuasa, tanpa kekerasan; hidup dalam kemiskinan, menjadi lemah lembut, lapar akan kebenaran, menunjukkan belas kasihan, sebagai pendamai dan akhirnya menanggung penganiayaan, penderitaan dan kematian di atas salib. Ia tidak mustahil atau tidak mungkin untuk dilakukan, jika kita membiarkan Yesus menjadi panduan kita dan kita berjalan pada jalan-Nya.

Jadi pada hari ini, seperti bacaan pertama memberitahu kita, marilah kita "Carilah Tuhan, hai semua orang yang rendah hati di negeri, yang melakukan hukum-Nya; carilah keadilan, carilah kerendahan hati; mungkin kamu akan terlindung pada hari kemurkaan Tuhan." Apabila kita berusaha untuk berbuat demikian dan hidup pada jalan-Nya, maka kita akan mengetahui bahawa apabila kita lemah, kita benar-benar kuat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...