Ahad, 27 Disember 2015

Keluarga Kudus

Di mana kita memperoleh sebahagian besar pendidikan kita? Sesetengah orang mungkin berkata dari tadika. Yang lain mungkin mengatakan dari sekolah rendah atau sekolah menengah. Mungkin juga ada yang mengatakan di kolej atau universiti. Walau bagaimanapun, semua bentuk pendidikan hanya dapat memberi manfaat kepada kita jika kita telah belajar asas-asas, yang (diharapkan) diajar kepada kita di rumah, pada usia yang amat muda. Di dalam keluargalah kita belajar untuk menjadi seorang insan, warganegara, seorang Kristian, dan anak Allah.

Namun, institusi keluarga berada dalam kedudukan tergugat. Kita melihat semakin banyak keluarga mengalami keretakan. Kita melihat kurangnya komunikasi; suami dan isteri tidak bercakap antara satu sama lain; kanak-kanak tidak bercakap dengan ibu bapa atau adik-beradik mereka. Kita melihat kadar perceraian semakin meningkat, kerana sesetengah orang tidak bahagia dalam perkahwinan mereka dan beralih ke tempat lain mencari cinta dan keselesaan. Kita melihat kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di rumah atau di bawah jagaan datuk dan nenek, pembantu rumah atau pengasuh, kerana ibu bapa bekerja sehingga lewat malam atau memilih untuk hidup dan menikmati kehidupan mereka di luar. Kita lihat ibu bapa yang tua terbiar atau ditempatkan di rumah penjagaan dan jarang dikunjungi, kerana sesetengah orang berpendapat sukar untuk menjaga ibu bapa mereka (ia seolah-olah pelik dan malang bahawa ibu bapa kita telah membuat pengorbanan untuk menjaga kita apabila kita masih kecil, tetapi sebahagian daripada kita tidak sanggup untuk melakukan perkara yang sama apabila mereka sudah tua). Malah, ada sesetengah ibu bapa putus asa atau tidak mempunyai kesabaran untuk mengajar anak-anak mereka, lebih suka untuk "membasuh tangan"/ lepas tangan dan "membiarkan orang lain melakukan kerja-kerja kotor mereka"/menolak tanggungjawab mereka kepada orang lain. Saya pernah terdengar perbualan sepasang ibu bapa dengan seorang guru. Mereka meminta guru untuk mengawal anaknya yang sangat "nakal." Guru itu berkata: "Jika anda tidak dapat mengawal anak anda di rumah, di mana anda melihat dia setiap hari selama beberapa jam, bagaimana anda mengharapkan saya untuk mengawal dia, apabila saya melihat dia hanya dua kali seminggu selama 30 minit setiap kali?"

Semua ini mungkin kedengaran seperti suatu situasi yang tiada harapan. Tetapi mungkin tidak, jika kita bersedia untuk menjadikan Allah dan iman kita sebagai pusat kehidupan kita semula. Hari Raya Keluarga Kudus, yang kita raikan hari ini, mengingatkan kita bahawa tiada situasi putus asa. Keluarga Kudus bukan sebuah keluarga yang sempurna. Mereka juga mempunyai masalah mereka. Tetapi apa yang membezakan mereka daripada keluarga lain adalah percaya kepada Allah. Mereka faham bahawa sebuah keluarga bukan sebuah keluarga yang sebenar tanpa menjadikan Allah sebagai pusat. Adakah ini bermakna bahawa apabila kita menjadikan Allah pusat hidup kita, kita tidak akan mempunyai sebarang masalah? Tidak. Tetapi kita tahu bahawa Allah akan menjaga kita dan tidak meninggalkan kita. Masalah yang kita hadapi menjadi lebih mudah diurus, jika kita membiarkan Tuhan mengawal dan membantu kita, sebab Dia tidak akan meninggalkan kita.

Apa sahaja halangan dan masalah yang kita hadapi dalam kehidupan kita dan di dalam keluarga kita, janganlah kita putus asa atau menyerah kalah. Tuhan boleh dan akan membantu kita. Persoalannya ialah adakah kita cukup rendah diri untuk berjalan mengikut jalan-Nya dan membenarkan Dia membimbing kita dan keluarga kita? Adakah kita menawarkan diri dan keluarga kita kepada Allah, supaya Dia boleh mengubah kita menjadi sesuatu yang lebih baik?

Jumaat, 25 Disember 2015

Misa Hari Krismas

Pada zaman dahulu, orang tidak dapat berkomunikasi secara berkesan dan jelas kerana mereka bergantung pada bunyi dan simbol asas. Kemudian, perkataan dibentuk dan akhirnya, munculnya bahasa. Ini menjadikannya lebih mudah bagi orang untuk mengekspresikan diri mereka dan berkongsi idea, fikiran dan perkara lain. Perkataan membolehkan kita mempelajari perkara-perkara yang tidak pernah kita lihat dan tentang tempat-tempat yang tidak pernah kita pergi. Dengan kata lain, perkataan memberikan kita kehidupan baru.

Hari ini, kita merayakan kelahiran Tuhan Yesus Kristus, Firman Allah. Injil hari ini memberitahu kita tentang Firman sebagai "terang sejati." Memandangkan Yesus adalah Firman, Dia adalah terang sejati harapan, pengetahuan, keadilan dan kedamaian yang menerangi semua insan. Dia adalah cahaya dan Firman yang telah datang ke dunia dan telah mengatasi kegelapan dari ketamakan, ego, kebanggaan, keganasan, kebencian, kemarahan dan dosa yang ada di dunia.

Justeru, marilah kita berterima kasih kepada Allah pada Firman telah menjadi manusia, Allah telah menjadi manusia, agar kita memiliki hidup dalam Dia. Janganlah kita menyimpan Berita Baik Firman ini untuk diri kita sendiri, tetapi pergi mewartakan serta berkongsi dengan orang lain, seperti Injil memberitahu kita: "Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, dan kita telah melihat kemuliaan-Nya, iaitu kemuliaan yang diberikan kepada-Nya sebagai Anak Tunggal Bapa, penuh kasih karunia dan kebenaran. " Semoga kita bersukacita dan bersemangat menjadi kesaksian-Nya dan memberi Dia kemuliaan.

Khamis, 24 Disember 2015

Malam Menjelang Krismas - Misa Tengah Malam

Adakah anda benar-benar berminat tentang kelahiran Yesus? Ramai orang mungkin mengatakan ya, tetapi bagaimana anda menunjukkan bahawa anda berminat? Sesetengah daripada kita mungkin sibuk dengan kerja kita, menyiap segalanya untuk akhir tahun. Sebahagian daripada kita mungkin sibuk mencari hadiah yang bagus dan mahal di pusat membeli-belah, kadangkala menghabiskan masa berjam-jam mencari dan mengenal pasti hadiah untuk rakan taulan dan orang kesayangan kita dan setelah itu, sanggup tahan beratur panjang semata-mata untuk membayar hadiah tersebut. Sesetengah daripada kita mungkin sibuk memasak serta membersihkan rumah, supaya keluarga kita dapat menikmati juadah yang enak dan rumah kelihatan bersih dan kemas. Berapa ramai daripada kita sibuk mengembangkan kehidupan rohani kita, bersikap penyayang dan murah hati terhadap golongan miskin, terpinggir dan mereka yang memerlukan?

Di antara semua kesibukan dan hiruk-pikuk di sekeliling kita, kita mungkin terlupa sebab utama mengapa kita meraikan Krismas. Kita mungkin tidak perasan kehadiran golongan yang miskin, terpinggir, sakit, mereka yang menghadapi penganiayaan, dan banyak lagi yang cuba dielak masyarakat. Jika Yesus dilahirkan hari ini, Dia tidak akan ditemui dalam sebuah istana, atau hospital besar, mahupun antara kerlipan dan hiasan di pusat membeli-belah, atau lain-lain tempat mewah. Bahkan tiada siapa pun akan menyedari kehadiran Yesus di tempat-tempat sebegitu, kerana terdapat begitu banyak gangguan lain dan tarikan di sekeliling, ditambah pula golongan kaya dan berkuasa terlalu sibuk dengan urusan sendiri berbanding mengambil perhatian peristiwa seperti ini. Golongan miskin yang mengambil perhatian dan mengenal kedatangan Yesus kerana kehidupan seharian mereka bergantung kepada rezeki/pemberian Allah. Sudahkah kita belajar menjadi seperti golongan miskin dan perasan hari kelahiran Yesus, atau kita lebih menjadi seperti orang lain, mengambil berat diri kita sendiri dan orang yang kita sayangi semata-mata?

Hari ini, para malaikat mengumumkan satu mesej indah kepada kita semua: "Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus Tuhan...Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya." Jika kehidupan kita begitu khusyuk dengan kekayaan, cita-cita, ketamakan, kesombongan, atau kuasa, memang tidak mustahil kita tidak mendengar nyanyian para malaikat. Tetapi jika hari ini, anda juga mula menyedari bahawa anda juga miskin, anda juga putus asa (broken) , lemah, dan anda memerlukan Tuhan, maka anda bukan sahaja boleh mendengar mesej daripada para malaikat, tetapi anda juga akan menjadi sangat gembira dan teruja untuk berkongsi mesej indah dengan orang lain. Semoga kita memberi tumpuan semula pada kehidupan kita ke arah Yesus, dan membawa kegembiraan Krismas kepada semua di sekeliling kita.

Sabtu, 19 Disember 2015

Minggu Adven Ke-4 Tahun C

Sebagai manusia, saya percaya ramai memerlukan atau menginginkan kedamaian, kedamaian bukan sahaja dalam keluarga, masyarakat serta dunia, tetapi juga dalam diri kita sendiri. Tetapi realitinya, kita hidup dalam dunia di mana konflik dan salah faham menjadi sebahagian daripada kehidupan. Dalam peredaran masa, kita seolah-olah melihat semakin banyak keganasan, kebencian dan peperangan, serta masalah yang juga berlaku bukan sahaja dalam masyarakat tetapi juga dalam keluarga kita sendiri. Sesetengah daripada kita mungkin mula berfikir bahawa kedamaian hanya sekadar mimpi atau ilusi, dan tidak boleh dicapai.

Tetapi marilah kita bertanya kepada diri kita sendiri dengan ikhlas: Adakah kita benar-benar memahami apa makna damai? Damai bukan sekadar ketiadaan keganasan dan konflik. Damai wujud walaupun di antara konflik, memandangkan kedamaian bukan sahaja berdasarkan pada apa yang kita alami secara luaran tetapi sesuatu yang perlu berakar umbi dalam hati kita. Jika tidak ada kedamaian di dalam hati kita, kita tidak boleh mengalami ketenangan di luar diri kita sendiri. Kita mengalami konflik di dalam hati kita, hanya disebabkan kita sentiasa mahu mempunyai sesuatu menurut cara kita, dalam erti kata lain, kita mahu berada dalam kawalan. Masalah dengan perkara yang kita mahu mengikut cara kita ialah kadang kala kita tidak pernah mampu mengawal keadaan. Apabila kita tidak mendapatkan sesuatu dengan cara kita, kita berasa tidak gembira dan akan rasa tidak damai dalam hati kita. Satu-satunya cara di mana kita boleh mencari kedamaian adalah dengan membenarkan Tuhan mengawal kehidupan kita. Dalam bacaan kedua, kita diingatkan Kristus, yang datang untuk mematuhi kehendak Allah Bapa. Apabila kita menyedari bahawa cara Tuhan bukan cara kita, dan kita bersedia untuk menyerahkan hidup kita kepada Tuhan, maka kita akan rasa damai di dalam hati kita.

Jadi bagaimana kita mula mempunyai damai atau memulakan kedamaian? Salah satu cara yang terdapat dalam Al-Kitab hari ini: dengan menawarkan dan menerima hospitaliti. Apabila kita menawarkan hospitaliti kepada satu sama lain seperti Maria dan Elisabet menawarkan hospitaliti dan persahabatan antara satu sama lain, tercetus kedamaian. Apabila kita menolak untuk menawarkan hospitaliti kepada orang lain atau apabila kita menolak hospitaliti yang diberikan oleh orang lain, ini menyebabkan kedamaian menjadi kurang. Kita tidak memerlukan perkara besar atau menunggu peristiwa besar supaya kedamaian mengambil tempat. Kedamaian boleh menjadi satu kemungkinan pada hari ini, tatkala kita sanggup memberi atau mudah menerima suatu kata galakan yang ringkas, suatu perbuatan baik, suatu tawaran kasih sayang berbentuk bantuan. Kedamaian bermula apabila setiap seorang daripada kita percaya kita boleh membuat perbezaan, bermula dengan diri kita sendiri, dan kita dengan rendah diri serta sedia membiarkan Tuhan bantu dan menjadi panduan, seperti bacaan pertama mengingatkan kita: "Dia menjadi damai sejahtera."

Sesetengah daripada kita mungkin berasa terharu, berfikir bahawa kita hanya seorang insan. Mungkin ada yang bertanya, apa yang boleh seorang insan lakukan. Apa yang penting diperhatikan di sini ialah kita tidak perlu bimbang atau risau. Kita boleh membuat perbezaan, terutamanya apabila kita membenarkan Tuhan mengambil alih kehidupan kita, apabila kita bersedia untuk menyerahkan kehidupan kita kepada-Nya. Apabila kita melakukannya, kita akan menjumpai kedamaian, walaupun di antara masalah dan rintangan. Dalam kita bersedia untuk mengalu-alukan Yesus, Putera Damai kita, menjelang Krismas ini, marilah kita terus berharap dengan jagaan serta rezeki Allah, dan mengalami kedamaian sejati yang hanya Dia boleh beri.

Sabtu, 12 Disember 2015

Minggu Adven Ke-3 Tahun C

Krismas menjelang tiba tidak lama lagi dan ramai di antara kita mungkin semakin riang, mudah-mudahan bukan disebabkan hadiah yang akan diterima tidak lama lagi, tidak juga kerana makanan yang lazat dan minuman yang boleh kita rasa dan nikmati, tetapi kerana Tuhan sudah dekat dan keselamatan kita semakin hampir. Ini ditekankan Santo Paulus dalam bacaan kedua, di mana dia memberitahu kita: "Bersukacitalah senantiasa dalam Tuhan! Sekali lagi kukatakan: Bersukacitalah! Hendaklah kebaikan hatimu diketahui semua orang. Tuhan sudah dekat!" Menunggu kedatangan Tuhan tidak bermakna kita harus duduk begitu sahaja atau malas, tetapi kita perlu mengambil tindakan dan mengalami suatu pertaubatan. Kumpulan-kumpulan orang yang berbeza dalam Al-Kitab hari ini telah bertanya kepada Yohanes, Pembaptis apa yang mereka perlu lakukan, dan katanya kepada mereka dan kita juga, kita perlu berkongsi dengan orang-orang yang miskin; adil dan saksama dalam urusan kita; menahan diri daripada ugutan dan peras ugut untuk memperoleh apa yang kita mahu; dan berpuas hati dengan apa yang kita ada. Ini bermakna, sementara kita menanti kedatangan Kristus, kita tidak boleh menyendiri, mementingkan diri sendiri atau tamak dan hanya memikirkan tentang diri kita sendiri atau keperluan dan kemahuan kita sendiri. Sebaliknya, kita sebagai orang Kristian dipanggil untuk mendahulukan orang lain sebelum diri kita sendiri.

Namun kadangkala, sebahagian daripada kita mendapati sukar untuk bermurah hati atau untuk berkongsi. Kita keberatan untuk berkongsi, mungkin disebabkan kita bimbang bahawa mungkin ia tidak cukup untuk kita. Di mana ini sekali lagi Santo Paulus mengingatkan kita "janganlah hendaknya kamu khuatir tentang apapun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapan syukur. Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus." Ini bermakna Allah akan menjaga kita dan menjadi rezeki kita, dan kita akan sentiasa ada cukup, kerana Allah dapat memenuhi keinginan setiap hati kita, mengisi kekosongan di dalam hati kita, dan memuaskan keinginan kita yang tidak terhingga. Hanya Tuhan yang dapat menjadi sumber kegembiraan kita yang kekal.

Oleh itu marilah kita membenarkan Tuhan mengisi kehidupan kita dengan kasih-Nya, kegembiraan dan keamanan. Dalam bacaan pertama, nabi Zefanya mengingatkan kita bahawa Tuhan kita adalah "pahlawan yang memberi kemenangan. Ia bergirang kerana engkau dengan sukacita, Ia membaharui engkau dalam kasih-Nya, Ia bersorak-sorak kerana engkau dengan sorak-sorai, seperti pada hari pertemuan raya." Apabila kita menjadikan Tuhan sebagai pusat kehidupan kita, tiada apa yang boleh merampas kegembiraan kita sebagai anak lelaki-Nya dan anak perempuan-Nya. Marilah kita membawa kegembiraan ini juga kepada semua orang yang kita temui, supaya semua orang mengalami kegembiraan yang sebenar dan bersyukur kepada Allah.

Sabtu, 5 Disember 2015

Minggu Adven Ke-2 Tahun C

Antara kita, ada yang pernah menggunakan perkataan "kebahagiaan" dan "kegembiraan" terlalu kerap, sehingga maksudnya mungkin telah hilang dalam terjemahan. Sebenarnya, terdapat perbezaan yang besar antara kegembiraan dan kebahagiaan. Anda boleh mengalami kegembiraan tanpa rasa bahagia, tetapi anda tidak boleh mengalami kebahagiaan tanpa gembira. Kebahagiaan adalah perasaan yang berubah dengan emosi yang kita ada dalam sehari, tetapi kegembiraan adalah keadaan berterusan yang kita pilih. Kebahagiaan adalah satu ekspresi perasaan luaran di dalam diri kita, manakala kegembiraan adalah kedamaian dalaman dan kepuasan yang diekspresi melalui tindak balas dan reaksi kita. Jadi, walaupun kita mungkin mengalami ujian dan penderitaan dalam kehidupan iman kita, kita masih boleh mengalami kegembiraan yang sebenar atau sempurna, yang dikenali sebagai kegembiraan orang Kristian, sebagai bacaan kedua memberitahu kita, Allah "yang memulai pekerjaan yang baik di antara kamu, akan meneruskannya sampai pada akhirnya pada hari Kristus Yesus." Ia adalah kegembiraan berdasarkan apa yang Allah boleh lakukan dan bukannya apa yang kita boleh capai.

Kegembiraan orang Kristian merupakan suatu pilihan, suatu keputusan berdasarkan iman dan harapan, dengan sedar bahawa Allah tidak akan meninggalkan kita, tidak kira apa yang berlaku. Tuhan tidak menjanjikan kepada kita kehidupan yang senang, tetapi Allah akan bersama kita pada setiap masa, dan Allah setia pada apa yang telah dijanjikan. Dalam Al-Kitab hari ini, kita membaca satu janji yang dipenuhi itu, di mana "Semua orang akan melihat keselamatan yang dari Tuhan." Yesus adalah keselamatan yang dari Tuhan, yang dijanjikan sejak dahulu dan Dia adalah sumber kegembiraan dan harapan kita. Jika kita percaya bahawa Yesus adalah keselamatan kita, maka kita harus kekal gembira, dan tidak hidup seolah-olah kita dikalahkan atau mangsa tragedi. Walaupun kita boleh melalui kegagalan, mengalami kesakitan, kekecewaan, cabaran dan menghadapi pelbagai kesukaran atau masalah lain, kegembiraan kita terletak pada pengetahuan yang Allah telah mendapat kemenangan untuk kita. Kita mungkin tidak boleh melihat tanda-tanda kemenangan Allah pada masa ini, tetapi ia ada di sana. Ini adalah janji Allah dan Dia sentiasa setia.

Oleh itu, kita tidak boleh hanya duduk dan merajuk atau tidak melakukan apa-apa. Kita perlu menjalankan tugas kita. Kita mesti menyediakan jalan untuk TUHAN, dengan memiliki suatu perubahan dalam kehidupan kita. Santa Paulus dalam bacaan kedua berdoa agar "semoga kasihmu makin melimpah dalam pengetahuan yang benar dan dalam segala macam pengertian, sehingga kamu dapat memilih apa yang baik, supaya kamu suci dan tak bercacat menjelang hari Kristus, penuh dengan buah kebenaran yang dikerjakan oleh Yesus Kristus untuk memuliakan dan memuji Allah." Ini seharusnya juga merupakan doa kita. Semoga kita membesar dan menjadi semakin gembira bersama Tuhan, dan berkongsi kegembiraan ini dengan semua orang kita temui.

Sabtu, 28 November 2015

Minggu Adven Pertama Tahun C

Setiap tahun, ramai di antara kita akan menyambut tahun baru untuk mengingat dan bersyukur kepada Allah atas segala nikmat daripada tahun lepas dan juga mengambil kesempatan mendoakan tahun depan yang lebih baik. Tetapi bacaan dan Injil hari ini seolah-olah memberikan kita cara yang berbeza bagaimana orang Kristian harus meraikan tahun baru. Apakah bezanya cara tersebut? Bezanya ialah kita menyambut tahun baru bukan dengan melihat pada masa lalu atau tahun berikutnya tetapi memberi tumpuan pada akhir zaman atau dunia akhirat. Ia seolah-olah pelik bagi kita memberi tumpuan kepada akhir zaman, jadi mengapa kita perlu berbuat demikian, kerana sesetengah orang mungkin mendapati akhir zaman satu topik yang tidak begitu menyenangkan?

Al-Kitab pada hari ini nampaknya memberikan kita gambaran menakutkan mengenai dunia akhirat: "Dan akan ada tanda-tanda pada matahari dan bulan dan bintang-bintang, dan di bumi bangsa-bangsa akan takut dan bingung menghadapi deru dan gelora laut. Orang akan mati ketakutan kerana kecemasan berhubung dengan segala apa yang menimpa bumi ini, sebab kuasa-kuasa langit akan goncang." Bagi sesetengah orang, bencana alam mungkin kelihatan menakutkan atau ngeri, tetapi sains telah menunjukkan kepada kita bahawa bencana alam bererti bahawa bumi sedang berkembang dan berevolusi, yang merupakan tanda-tanda kehidupan dan bukannya kematian. Planet yang tidak lagi mempunyai bencana alam seperti gempa bumi, ribut, atau gunung berapi tiada kehidupan, dalam erti kata lain, tidak bernyawa. Yesus memberikan contoh-contoh seperti dari bencana alam untuk menggambarkan dunia akhirat dan memberitahu kita bahawa sesuatu yang baru bakal mengambil tempat. Ini bermakna, dari sudut pandangan ini, kita harus melihat dunia akhirat sebagai satu sambutan penuh harapan dan bukannya ketakutan.

Sebahagian daripada kita mungkin tertanya-tanya: bila dan bagaimana semua ini akan berlaku? Bila dan bagaimana tidak penting, tetapi apa yang kita harus lakukan sebagai persediaan untuk keadaan sedemikian hendaklah menjadi tumpuan kita. Sebagai permulaan, walaupun terdapat kekeliruan dalam kehidupan kita, walaupun perkara berlaku tidak mengikut perancangan, tiada siapa pun yang harus berputus asa, kerana Yesus mengingatkan kita: Apabila semuanya itu mulai terjadi, bangkitlah dan angkatlah mukamu, sebab penyelamatanmu sudah dekat." Malah, kita mungkin terdorong untuk melarikan diri atau mencari alasan atau penyelesaian lain apabila berhadapan dengan masalah dan cabaran di dunia, tetapi kita sepatutnya berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada dan bersedia, kerana Yesus mengingatkan kita: "Jagalah dirimu, supaya hatimu jangan sarat oleh pesta pora dan kemabukan serta kepentingan-kepentingan duniawi dan supaya hari Tuhan jangan dengan tiba-tiba jatuh ke atas dirimu seperti suatu jerat." Selain itu, kita mesti "berjaga-jaga dan berdoa." Ini bermakna bahawa kita mesti mengambil serius perkembangan kerohanian kita, seperti Santo Paulus dalam bacaan kedua mengesa agar setiap dan tiap-tiap seorang daripada kita untuk terus memperkembangkan kehidupan iman kita.

Maka, apa maknanya kepada kita? Ini bermakna bahawa kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan kita dan berfikir bahawa kita mempunyai banyak masa untuk berkembang lebih dekat dengan Tuhan. Sebaliknya, kita harus konsisten dan berterusan dalam usaha kita untuk memperkembangkan kehidupan rohani kita dan dalam hubungan kita dengan Allah dan dengan orang lain, seperti Santo Paulus menasihati kita dalam bacaan kedua: "Akhirnya, saudara-saudara, kami minta dan nasihatkan kamu dalam Tuhan Yesus: Kamu telah mendengar dari kami bagaimana kamu harus hidup supaya berkenan kepada Allah. Hal itu memang telah kamu turuti, tetapi baiklah kamu melakukannya lebih bersungguh-sungguh lagi." Semoga kita melakukan yang terbaik dan berjaga-jaga dan bersedia, dengan harapan dan keyakinan bahawa Allah akan menjadi takdir dan panduan kita.

Selasa, 24 November 2015

Selasa Minggu Biasa Ke 34 Tahun 1

Ada sesetengah orang yang terlalu sibuk berkenaan hari kiamat atau pengakhiran dunia. Malah di televisyen juga, kita kadangkala menonton rancangan dokumentari di mana ada orang yang cuba mengumpulkan dan bersedia sekira berlakunya penghujung tamadun seperti yang difikirkan berlaku. Kepada mereka, tamatnya tamadun sama seperti tamatnya dunia, dan mereka mempercayai keadaan kucar kacir akan berleluasa dan salah satu cara untuk terus hidup ialah dengan menyediakan cukup makanan, air dan pertahanan. Tetapi semua persediaan ini hanyalah untuk kehidupan duniawi. Bagaimana pula dengan persediaan untuk kehidupan selepas kematian?

Di dalam Al Kitab hari ini, kita diberitahu, "Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Orang akan datang dengan nama Ku dan berkata, 'Aku lah dia!' dan 'Masanya sudah tiba!' Jangan ikut mereka. Jangan takut apabila kamu mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan. Semua perkara ini, mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba." Kemudian Dia berkata lagi kepada mereka, "Bangsa yang satu akan berperang melawan bangsa yang lain dan kerajaan yang satu akan menyerang kerajaan yang lain. Di pelbagai tempat akan berlaku gempa bumi yang dahsyat, kebuluran, dan wabak. Akan berlaku juga pelbagai perkara yang menakutkan dan luar biasa di langit." Jika kita sudah senantiasa tetap dan berterusan di dalam penyediaan rohani kita untuk kehidupan selepas kematian, agar semua yang di katakan oleh orang lain berkenaan pengakhiran dunia akan datang, termasuk kemungkinan berlakunya perkara luar biasa di langit, tidak menjadi perkara yang merisaukan diri kita. Apa yang harus kita risaukan ialah samada kita telah sentiasa bersedia sebaik boleh, dengan mengetahui dan meletakkan kepercayaan bahawa Tuhan akan melindungi kita tidak kira apa yang akan berlaku. Janganlah kita menjadi terlalu paranoid atau ketakutan, tetapi sentiasa mempunyai keyakinan dan kepercayaan kepada Tuhan.

Isnin, 23 November 2015

Isnin Minggu Biasa Ke 34 Tahun 1

Apabila kamu datang ke gereja menghadiri Misa, berapa ramaikah di antara kamu yang akan menyembahkan kesemua wang yang ada pada kamu kepada gereja? Kemungkinannya, ramai di antara kamu akan memasukkan beberapa dollar atau beberapa Ringgit Malaysia ke dalam bag penyembahan, sementara ada pula di antara kamu yang akan menyembahkan sebanyak mana yang kamu mampu. Ada yang akan memberikan lebih sekiranya mereka kaya dan mampu, tetapi berapa ramaikah di antara kamu yang sanggup menyembahkan segala yang kita ada dengan mengosongkan semua wang di dalam poket. Ada di antara kamu yang akan berkata itu satu perbuatan yang gila di dalam menyembahkan kesemua yang kita punyai kepada Tuhan, kerana kita masih memerlukan wang untuk makanan dan lain-lain perkara selepas Misa.

Tetapi, cubalah kita berfikir sejenak, bacaan Al Kitab hari ini memberitahu kita akan seorang balu yang papa kedana memberikan segala yang dia punyai untuk kehidupannya, seperti yang di katakan Yesus, "Ketahuilah, balu ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. Orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka. Tetapi balu ini, walaupun sangat miskin, mendermakan semua nafkahnya." Bila kita memasukkan wang untuk persembahan, ianya bukanlah jumlah yang di perkirakan, ia berkenaan berapa ikhlas/murah hatinya diri kita ini. Ingatlah bahawa semua yang kita miliki datangnya dari Tuhan, dan Tuhan telah begitu murah hati kepada kita di dalam pelbagai cara. Tidakkah kita mahu menjadi sebegitu murah hati di dalam sumbangan dan persembahan kemahiran kita untuk gereja?

Jumaat, 20 November 2015

Jumaat Minggu Biasa Ke 33 Tahun 1

Adakah salah untuk menjual barang di kawasan gereja? Jika barang-barang agama seperti tasbih, buku-buku doa, patung-patung orang-orang kudus dan barangan lain yang berkaitan dijual pada harga yang berpatutan untuk menggalakkan iman dan doa; atau makanan yang dijual dengan harga yang berpatutan untuk menggalakan sinatulrahim dan persahabatan, dengan demikian barangan tersebut dan makanan itu dapat diterima, sekiranya paderi paroki bersetuju dengan aktiviti tersebut dan dia telah memberikan kebenaran. Ini adalah mustahak untuk mengelakkan penyalahgunaan kerana ada yang akan mengatakan dia hanya menjual barangan, tetapi dengan niat untuk meraihkan keuntungan untuk diri sendiri. Di sinilah para umat paroki sepatutnya mengumumkan dan menjelaskan kepada paderi paroki, terutama sekiranya mereka mendapati orang yang tidak dikenali atau barangan jualan yang tidak dikenali. Sekira tidak, maka kawasan gereja kita akan, dalam setengah kes, akan menjadi "sarang penyamun", di mana apa yang sepatutnya tempat yang suci dan digunakan dengan penuh hormat, menjadi sebuah pasar atau pasaraya, di mana mungkin terdapatnya penipuan dan penyelewengan berlaku.

Di dalam Al Kitab hari ini, "Yesus masuk ke Rumah Tuhan dan mula mengusir semua pedagang di situ. Yesus berkata, "Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, "Rumah Ku akan disebut rumah tempat berdoa." Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak." Rumah Tuhan telah menjadi tempat di mana berlakunya penipuan dan penyelewengan, dan apa yang lebih teruknya ialah para ketua mam-imam dan ahli Taurat membenarkan berlakunya perkara sebegitu. Bagaimana kita mengetahuinya? Al Kitab juga memberitahu kita bahawa, "Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin bangsa Yahudi hendak membunuh Dia. Tetapi mereka tidak mendapat peluang.." Sekiranya para ketua imam dan ahli Taurat ikhlas di dalam mengekalkan Rumah Tuhan sebagai tempat yang suci dan diperlakukan dengan penuh hormat, mereka tidak sepatutnya marah apabila Yesus mengusir pedagang-pedagang tersebut. Fakta bahawa mereka cuba membunuh Yesus menunjukkan bahawa mereka menyembunyikan sesuatu dan tidak mahu rugi akan perniagaan pedagang-pedagang itu.

Bagaimanapula dengan diri kita? Adakah kita sama bersalah seperti para ketua imam dan ahli taurat? Adakah kita telah melakukan gereja kita sebagai tempat di mana perniagaan dapat dijalankan dan pedagang boleh melakukan sesuka mereka asalkan kita mendapat 'sepotong' dari aktiviti tersebut? Semoga kita menyedari dan menghargai kesucian dan kepentingan gereja kita, dan melakukannya dengan sepatutnya/penuh hormat.

Khamis, 19 November 2015

Khamis Minggu Biasa Ke 33 Tahun 1

Ada di antara kita yang mungkin pernah merasa kesal di dalam kehidupan kita. Contohnya, ada yang menyesal tidak bekerja cukup keras di dalam pelajaran atau pekerjaan, dan dengan demikian, mereka tidak melakukan dengan baik di dalam peperiksaan atau mereka terlepas peluang untuk maju di dalam kerjaya mereka atau untuk peningkatan gaji. Ada juga yang mungkin menyesal kerana tidak cukup berani atau tidak berusaha secukupnya di dalam sesuatu hubungan, dan dengan itu terlepas peluang yang baik untuk berkahwin dan berumahtangga. Adakah anda mempunyai rasa kesal yang menghantui anda?

Di dalam Al Kitab hari ini, Yesus berkata, "Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang dapat mendatangkan kedamaian! Tetapi sekarang kamu tidak dapat melihatnya." Tuhan telah memberi para Yahudi begitu banyak peluang dan kesempatan untuk mengubah cara hidup mereka, tetapi kesemua peluang dan kesempatan ini hilang kerana para Yahudi berdegil dan keras kepala, memilih untuk mengekalkan cara hidup mereka. Kita juga mungkin akan berada dalam keadaan yang sama sekiranya kita enggan mengubah cara hidup kita dan berdekatan dengan Tuhan. Semoga kita tidak berakhir dengan kekesalan dan kehilangan kesempatan untuk berdekatan dengan Tuhan kerana bila ajal sampai, ianya sudah terlambat.

Rabu, 18 November 2015

Rabu Minggu Biasa Ke 33 Tahun 1

Ada di antara kita yang mengambil sahaja akan kurniaan dan bakat-bakat yang diberi Tuhan kepada kita. Kadang kala, ada yang berfikir kurniaan dan bakat-bakat ini di beri hanya untuk diri kita dan untuk kebaikan kita, dan ada yang enggan mengongsi bakat-bakat ini atau menggunakan bakat-bakat ini untuk membantu di gereja dan untuk kemuliaan Tuhan. Tetapi, apakah akan terjadi sekiranya kita menggunkan bakat-bakat ini untuk diri sendiri? Jika kita abai menggunakan bakat-bakat kita ini dan tidak melatihkannya, akhirnya kita akan kehilangan bakat-bakat tersebut. Adakah ini yang diharapkan oleh kita sebagai umat Kristian?

Di dalam Al Kitab hari ini, sepuluh hamba telah diberi satu paun setiap seorang. Dua orang dari hamba yang pertama menerimanya segera pergi untuk melaburkan wang yang diamanahkan kepada mereka, menambahkan manafaat untuk tuannya dengan lebih wang. Hamba yang ketiga mendakwa dia takut akan tuannya, tetapi melalui cara dia menerangkan dirinya, dia sebenarnya tidak mempunyai minat untuk menggunakan wangnya untuk keuntungan tuannya, akhirnya, dia dikutuk dan juga kehilangan wangnya. Inilah sebabnya Yesus berkata, "Ketahuilah, orang yang sudah mempunyai sesuatu, kepadanya akan diberikan lebih banyak lagi. Tetapi orang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga."

Apakah yang kita dapat pelajari dari ini? Ingatlah, apa yang kita punyai: harta, bakat-bakat kita, kebolehan kita, dan kurniaan kita datangnya dari Tuhan. Segala yang telah diberi oleh Tuhan, Dia akan dengan mudahnya mengambilnya kembali. Dengan itu, tidakkah kita sepatutnya menggunakan apa yang kita perolehi untuk kebaikan semua dan untuk kemuliaanNya? Mengapa harus ada di antara kita yang kedekut dan mementingkan diri dengan apa yang kita diperolehi? Semoga kita menyedari bahawa kita hanyalah penjaga kepada segala yang kita perolehi dan semoga kita akan lebih berhati-hati dan bermurah hati dengan cara kita menggunakannya.

Selasa, 17 November 2015

Selasa MInggu Biasa Ke 33 Tahun 1

Adakah kita berasa ghairah untuk bertemu dengan Yesus? Ada yang akan berkata kita ingin sungguh, tetapi tidak kelihatan untuk berusaha untuk menemui Yesus, terutama tiap hari di Misa atau di hadapan Sakramen Suci. Ada di antara kita yang tidak dapat menampakkan Yesus di dalam orang lain, terutama dalam cara kita melayani orang lain atau melalui tindak laku kita kepada orang lain. Ini menimbulkan pertanyaan: adakah kita benar benar ghairah menemui Yesus? Adakah kita mengakui kehadiran Nya? Adakah kita mahu mendekati Nya dan mengikut cara hidup Nya? Kita berkata ya, tetapi adakah apa yang kita luahkan dan lakukan menunjukkan apa yang kita perkatakan?

Di dalam Al Kitab hari ini, kita bertemu dengan Zakheus yang begitu ingin bertemu Yesus. Walaupun dia pendek, dia berusaha dengan kuat sehingga 'memanjat sebatang pokok ara, supaya dia dapat melihat Yesus yang akan lalu di situ." Apabila Yesus meminta untuk tinggal di rumah Zakheus, Zakheus begitu gembira, sehingga sanggup mengubah hidupnya serta memperbetulkan diri sekiranya dia telah menipu sesiapa. Ini menyebabkan Yesus berkata, "Pada hari ini Allah telah menyelamatkan kamu dan keluargamu, kerana kamu juga keturunan Abraham. Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat."

Bagaimanapula dengan kita? Adakah kita seperti Zakheus, begitu ingin dan ghairah untuk bertemu Yesus, sehingga dia membuat keputusan untuk mengubah cara hidupnya? Adakah kita menghargai hubungan kita dengan Yesus sepertimana Zakheus? Atau, adakah kita sudah menjadi bersahaja dengan perhubungan kita dengan Yesus, dengan berfikirkan bahawa kita 'ok' dan bahawa tiada lagi yang perlu kita perbetulkan? Semoga kita cukup merendahkan diri, seperti Zakheus, untuk menyedari bahawa kita memerlukan Yesus untuk sentiasa menjadi penolong dan petunjuk kita.

Isnin, 16 November 2015

Isnin Minggu Biasa Ke 33 Tahun 1

Berapa kerap dan tetapkah kita bila kita memohon sesuatu daripada Tuhan? Apakah akan berlaku bila kadangkala kita memohon sesuatu daripada Tuhan tetapi tidak menerimanya secara terus menerus? Ada di antara kita yang akan merajuk dan melepaskan geram, menuntut agar Tuhan menjawap permohonan kita. Tetapi biasanya Tuhan tidak memberikan kita apa yang dipohon, walaupun dengan tingkah laku seperti ini, apa pula yang akan berlaku? Ada yang akan putus harapan, memikirkan yang Tuhan langsung tidak mendengar permohonan kita, ada pula akan tergoda untuk mencari pertolongan melalui bentuk yang lain; tetapi berapa ramaikah kita akan bersabar, berterusan dan bertetap memohon pertolongan Tuhan?

Di dalam pembacaan Al Kitab hari ini, kita bertemu dengan seorang buta yang inginkan penyembuhan daripada Yesus. Orang buta itu berkata, "Yesus, Anak Daud! Kasihanilah saya!" Semua orang di hadapan memarahi dia dan menyuruh dia diam. Tetapi dia berseru lebih kuat lagi, "Anak Daud, kasihanilah saya!" Akhirnya orang buta itu disembuhi kerana dia mempunyai iman di dalam Yesus. Bagaimanapula dengan kita? Adakah kita, seperti orang buta itu, mempunyai iman di dalam Yesus? Adakah kita sanggup bersabar, berterusan dan bertetapan di dalam memohon Yesus untuk pertolongan? Semoga kita tidak begitu mudah di kalahkan tetapi berterusan/bertetapan dan meletakkan kepercayaan kepada Tuhan, menyedari bahawa Dia akan melakukan apa yang terbaik buat kita.

Jumaat, 13 November 2015

Jumaat MInggu Biasa Ke 32 Tahun 1

Terdapat banyak perkara di dunia yang boleh di jelaskan secara saintifik. Apa yang satu ketika dahulu dianggap terjadi akibat daripada makhluk atau kejahatan atau hukuman ilahi, boleh secara saintifik dibuktikan. Namun, masih terdapat banyak perkara lagi di dunia ini yang mana secara saintifik tidak dapat dijelaskan atau ditemui. Contohnya, sains masih tidak dapat dengan sepenuhnya memahami atau menjelaskan bila dan bagaimana konsepsi berlaku atau bila dan bagaimana kita akan meninggal, kerana perkara demikian boleh berlaku pada saat-saat yang di luar jangkaan kita.

Inilah sebabnya pembacaan hari ini memberitahu kita: "Sungguh bodohlah orang yang tidak mengenali Allah. Mereka melihat segala yang baik di sekitar mereka, tetapi tidak mampu mengenali Allah. Mereka mempelajari hasil ciptaanNya, tetapi tidak mengenali Pencipta...kerana kalau mereka mampu mempelajari sebanyak itu dan dapat menyelidiki alam semesta, seharusnya mereka segera menemui Penguasa semuanya." Ada orang yang berfikir bahawa sains dapat menyelesaikan dan menjelaskan banyak perkara, namun berkali-kali, kita menemui situasi yang mana tidak dapat dijelaskan dengan intelek kita atau dengan sains, tetapi dengan iman dan kepercayaan bahawa Tuhan adalah di dalam persamaan itu. Semoga kita belajar menemui perkara di mana sains dapat jelaskan dan yang boleh membantu kita memahaminya, sementara dengan bertunjang teguh dalam iman bahawa Allah adalah di sana untuk memberi petunjuk kepada kita dan membantu kita.

Khamis, 12 November 2015

Khamis Minggu Biasa Ke 32 Tahun 1

Ada di antara kita yang mudah teruja ke atas perkara-perkara kecil atau sesuatu kejadian. Umpamanya, kita memandu di atas jalanraya dan tiba-tiba terdapat kesesaknn jalanraya yang teruk di hadapan, dan kemudiannya kita menyedari bahawa kesesakan itu disebabkan oleh orang-orang yang sibuk melihat dan pemandu lain yang bergerak pelahan untuk melihat akibat kemalangan yang berlaku di seberang jalan, ada di antara kita juga bergerak pelahan. Sebahagian dari kita juga tidak dapat menahan keinginan untuk melihat apa yang sedang berlaku di tempat kemalangan, walaupun sudah ada pihak-pihak tertentu yang telah sampai di tempat kejadian dan mereka sedang sedaya upaya cuba mendapatkan pemandu bergerak cepat untuk mengelakkan kesesakan yang tidak perlu.

Secara yang sama, ada di antara kita juga yang berasa amat teruja berkenaan samada kita akan bersama Tuhan di syurga atau sebaliknya. Ada di antara kita yang akan mula berasa resah dan risau terhadap apa yang akan berlaku kepada masa depan kekal diri kita. Pada sudut yang lain pula, ada yang bimbang tentang neraka, dan menjadi lumpuh dengan ketakutan kerana mereka mungkin telah melakukan sesuatu yang berdosa yang akan menghumbankan mereka ke neraka. Tetapi Yesus berkata di dalam Al Kitab hari ini, "Pemerintahan Allah tidak bermula dengan tanda-tanda yang dapat dilihat.. nanti orang akan berkata kepada kamu, 'Lihat, di situ!' atau, 'Lihat di sini! Jangan kamu keluar mencarinya.." Jika kita sentiasa konsisten dan berterusan di dalam membina kehidupan rohani kita, dan hubungan kita dengan Tuhan, jika kita telah sentiasa menghadiri misa dan pergi mendapatkan pengakuan, dengan demikian kita tidak perlu mudah menjadi terlalu teruja. Tidak penting untuk mengetahui bila Kerajaan Allah akan tiba, ataupun apa akan terjadi pada diri kita, jika kita telah melakukan bahagian kita dan telah melakukan sebaik boleh. Tidakkah kita meletakkan kepercayaan kepada Tuhan dan kurniaanNya, pertolongan dan belas kasihanNya?

Rabu, 11 November 2015

Rabu Minggu Biasa Ke 32 Tahun 1

Kadang-kadang saya tertanya sama ada adakah di antara kita yang telah mengambil segalanya secara mudah. Pernahkah kita memikirkan tentang petani-petani yang bertungkus lumus menanam tanamannya untuk membolehkan kita mempunyai makanan di atas meja; orang yang bekerja membersihkan sisa buangan kita supaya rumah kita dan persekitaran kita bersih; ramai yang menyapu jalanraya-jalanraya dan memotong rumput supaya jalanraya dan lebuhraya kita bersih, kemas dan selamat dari serpihan; guru-guru yang meluangkan sebegitu banyak masa untuk persediaan kelas supaya kita dan anak-anak akan berpendidikan; dan seterusnya. Bila sesuatu tidak dilakukan dengan betul, kita bersungut dan membuat kecoh, tetapi bila dilakukan dengan betul untuk kesenangan dan keselamatan kita, adakah kita menghargainya, bersyukur, dan berterimakasih?

Di dalam pembacaan Al Kitab hari ini, kita melihat contoh yang baik untuk menghargai, bersyukur dan berterimakasih ke atas apa yang dilakukan untuk kita. Di dalam Al Kitab, sepuluh orang pesakit kusta disembuhkan oleh Yesus, tetapi hanya "seorang daripada mereka berpatah balik sambil memuji Allah dengan suara yang kuat. Dia sujud di hadapan Yesus dan mengucapkan terima kasih kepada Nya." Sudahkah kita belajar menjadi seperti pesakit kusta yang satu itu, seorang yang menghargai, bersyukur dan berterimakasih kerana disembuhkan? Atau adakah kita masih mengambil segalanya secara mudah, memikirkan yang kita telah membuat bayaran untuknya, atau kita memang layak atau berhak ke atas pertolongan seperti itu, atau adakah kita hanya berminat pada diri sendiri dan keperluan kita? Beringatlah, semuanya datang dari Tuhan dan adalah kurniaan kepada kita. Semoga kita memberi Nya segala pujian di atas kebaikan Nya di dalam pemberianNya dan penjagaanNya.

Selasa, 10 November 2015

Selasa Minggu Biasa Ke 32 Tahun 1

Apakah yang kamu cari di dalam kehidupan ini? Ada yang mencari harta, ada yang mencari kemashyuran dan populariti, ada yang mencari pengiktirafan dan pangkat, ada yang ingin kelihatan seperti orang yang berkuasa dan menguasai, tetapi berapa ramaikah di antara kita yang sanggup di lihat sebagai seorang hamba yang hina? Di sekeliling kita, kita dapat melihat orangramai yang mengikuti arus dan daya tarikan duniawi dan mereka di dorong oleh cita-cita, kepentingan sendiri, kebanggaan, kepuasan peribadi, dan pemeliharaan diri. Dilihat sebagai seorang hamba hina dan kelihatan tidak penting, menurut arus duniawi, merupakan satu kelemahan. Namun, di sinilah yang harus kita membuat pemilihan, kita tidak dapat memilih kedua-duanya: adakah kita memilih arus duniawi, atau adakah kita memilih cara Kristus?

Di dalam pembacaan Al Kitab hari ini, Yesus mengingatkan kita makna menjadi hamba hina: "Kami hanya hamba biasa; kami hanya melakukan kewajipan" Apakah maknanya ini? Ia bermakna di dalam segala yang kita lakukan, kita lakukan untuk Tuhan, untuk kemuliaan Nya, untuk Kerajaan Nya yang akan datang. Ia juga bermakna pada pengakhiran hari, kita sedar bahawa apa yang diperolehi dari arus duniawi adalah sementara dan akan lupus di suatu hari, dan dengan demikian adalah lebih wajar untuk menumpu pada apa yang lebih kekal. Adakah kita sanggup mengalihkan tumpuan untuk masa depan kekal kita?

Isnin, 9 November 2015

Pesta Pemberkatan Basilika Lateran

Hari ini kita meraikan Pesta Pemberkatan Basilika Santo Johanes Lateran di Rom kerana ia adalah gereja utama dan gereja Bonda kepada semua gereja di dunia. Basilika Santo Johanes Lateran adalah katidral Sri Paus kerana Basilika Santo Johanes Lateran adalah Katidral Diocese Rom di mana Sri Paus juga dikenali sebagai Uskup Rom.

Pemberkatan gereja ini adalah pesta untuk semua umat Roman Katolik kerana Santo Johanes Lateran adalah gereja paroki untuk segala gereja Katolik di mana ianya Katidral Sri Paus. Dengan meraikan pesta pemberkatan Katidral Sri Paus, kita menunjukkan kesatuan kita dengan Sri Paus dan juga cinta kasih dan hormat kepadanya, termasuk juga menunjukkan ketaatan dan kesetiaan kepada ajaran Gerjea Katolik. Ia juga menunjukkan kesatuan kita antara satu sama lain di dalam Gereja Katolik Sejagat. Santo Paulus memberi diskripsi kesatuan Gereja di dalam pembacaan kedua sebagai "Kediaman Allah, kerana Roh Allah tinggal di dalam kamu."

Dengan demikian, kita harus bersatu di dalam hati dan pemikiran dan menyembah di dalam Roh dan kebenaran agar gereja menjadi seperti yang digambarkan sebagai Rumah Tuhan di dalam pembacaan pertama:dengan air kehidupan mengalir keluar untuk membawa kepada pemyembuhan dan penyatuan, dan berbuahkan kehidupan dan cinta kasih.

Ahad, 1 November 2015

Hari Para Kudus

Siapakah seorang santo? Sesetengah orang menganggap para santo adalah mereka yang istimewa atau cemerlang dalam menjalani kehidupan suci, melakukan mukjizat yang menakjubkan atau perbuatan besar yang soleh seperti berdoa dalam masa yang lama, menahan penderitaan yang hebat untuk Kristus dan hidup tanpa dosa. Tetapi ini bukan sebenarnya ciri seorang santo, memandangkan kita terlalu memperbesarkan ciri baik para santo, sehingga lupa bahawa mereka juga mempunyai kelemahan. Jadi bagaimana seorang santo menjadi santo?

Santo menjadi "santo" berdasarkan keupayaan dan keterbukaan mereka untuk berhubung dengan ciri kemanusiaan masing-masing, dan berusaha untuk kekal suci sebagai manusia. Ucapan-ucapan dalam Al-Kitab hari ini memberi kita gambaran indah apa yang dimaksudkan untuk menjadi manusia dan menjadi suci: dengan menggambarkan orang-orang yang bahagia, diberkati, suci dan berhubung dengan kesakitan, kelemahan dan batasan mereka. Ini mengingatkan kita bahawa para santo adalah miskin di hadapan Allah, kerana mereka mengiktiraf kelemahan dan kekurangan mereka sendiri dan oleh itu mereka memerlukan Allah; mereka adalah orang-orang yang lemah lembut dan bukan ganas; mereka menegak keadilan dengan tidak berdiam diri tetapi berjuang terutamanya bagi golongan miskin, terpinggir dan orang-orang yang tidak mempunyai suara mereka sendiri; mereka mampu untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain kerana mereka juga telah menerima belas kasihan dari Allah; mereka mempunyai hati yang suci, kerana mereka tidak mempunyai agenda tersembunyi; dan mereka juga "pejuang keamanan" dalam dunia yang ganas dan penuh dendam.

Apa makna ini kepada kita semua? Ini bermakna bahawa setiap daripada kita dipanggil untuk menjadi santo. Kita dipanggil untuk mengenali kemiskinan kita, kelemahan kita, kesakitan kita, keperluan kita untuk belas kasihan, hasrat kita untuk keamanan dan keadilan, dan keperluan kita kepada Allah.Ia tidak mustahil untuk menjadi santo, semua yang perlu kita lakukan adalah untuk menjadi konsisten, rendah diri dan bersedia untuk menjalani kehidupan seperti yang dijanjikan Kristus, dan membiarkan Allah membantu dan membimbing kita.

Rabu, 14 Oktober 2015

Rabu Minggu Biasa Ke 28 Tahun 1

Ada di antara kita yang mudah mencari kesalahan orang lain. Kita fikir kita cukup pandai, cukup bijak, atau cukup berpengetahuan untuk memberitahu orang lain apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak. Tetapi, adakah itu hal sebenarnya? Adakah kita benar-benar seorang yang tidak pernah melakukan kesalahan, atau adakah kita hanya merasakan diri kita ini soleh dan menghakimkan orang lain. Yesus mengingatkan kita, "Jangan kamu menghakimi, supaya kamu tidak dihakimi. Karena dengan penghakiman yang kamu pakai untuk menghakimi, kamu akan dihakimi dan ukuran yang kamu pakai untuk mengukur, akan diukurkan kepadamu..(Matius 7:1) Namunbegitu, ada juga di antara kita yang masih belum sedar bahawa kita semuanya adalah manusia, dan kita mungkin tidak ketahui segala fakta dan maklumat. Jadi, mengapakan kita masih memandang atau menghakimi orang lain dengan mata 'berwarna'?

Di dalam pembacaan hari ini, kita juga diamarankan supaya jangan menghakim. Santo Paulus memberi amaran kepada kita, "Karena itu, hai manusia, siapapun juga engkau, yang menghakimi orang lain, engkau sendiri tidak bebas dari salah. Sebab, dalam menghakimi orang lain, engkau menghakimi dirimu sendiri, karena engkau yang menghakimi orang lain, melakukan hal-hal yang sama. Tetapi kita tahu, bahwa hukuman Allah berlangsung secara jujur atas mereka yang berbuat demikian. Dan engkau, hai manusia, engkau yang menghakimi mereka yang berbuat demikian, sedangkan engkau sendiri melakukannya juga , adakah engkau sangka, bahwa engkau akan luput dari hukuman Allah? Maukah engkau menganggap sepi kekayaan dan kemurahan-Nya, kesabaran-Nya dan kelapangan hati-Nya? Tidakkah engkau tahu, bahwa maksud kemurahan Allah ialah menuntun engkau kepada pertobatan?" Bila kita menghakimi orang lain, walaupun sebenarnya pada suatu masa dahulu kita juga pernah berlaku salah seperti yang dilakukan mereka, kita hanyalah semata-mata seorang munafik (hypokrit). Semoga kita rendah diri untuk mengakui kesalahan kita sendiri, dan belajar untuk menjadi penyayang dan penggalak kepada yang lain daripada cuba menjadi seorang yang bangga diri dan menghakim.

Selasa, 13 Oktober 2015

Selasa Minggu Biasa Ke 28 Tahun 1

Ada di antara kita yang terlalu sibuk di dalam memastikan kebersihan rumah dan kebersihan diri. Kita akan berusaha untuk kerap menyapu dan mengemop rumah, dan ramai yang akan mandi sekurang-kurangnya sekali sehari, dan ada pula yang akan juga menggunakan minyak wangi. Tetapi semua usaha-usaha memastikan kebersihan ini adalah secara luaran sahaja. Bagaimanapula tentang kebersihan dalaman, iaitu, kebersihan roh kita?

Di dalam Al Kitab hari ini, Yesus memarahi orang Farisi bila Dia berkata, "Memang kamu orang Farisi biasanya membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi hati kamu penuh dengan kekerasan dan kejahatan. Kamu bodoh! Bukankah Allah yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam? Berikan apa yang ada di dalam cawan dan pinggan kamu kepada orang miskin. Jika kamu berbuat demikian, kamu dan milik kamu akan menjadi bersih." Orang Farisi terlalu banyak memberikan perhatian kepada kebersihan amalan-amalan luaran, termasuk amalan yang dipanggil amalan kebersihan, sehingga mereka mengabaikan kebersihan rohani mereka. Kita juga mungkin bersalah seperti orang Farisi, dengan bertopengkan kebersihan di bahagian luar, tetapi bagaimanapula di dalamnya, roh kita? Semoga kita menyedari akan kepentingan kebersihan rohani kita, dan semoga kita melakukan sesuatu untuk sentiasa membersihkan roh kita, untuk kehidupan kita selamanya.

Isnin, 12 Oktober 2015

Isnin Minggu Biasa Ke 28 Tahun 1

Katakanlah ada seorang datang kepada kamu dan bertanya, "Apakah yang kamu lakukan sebagai seorang Kristian atau sebagai seorang Katolik?" Apakah agaknya tindakbalas kamu? Ada di antara kita yang akan menyatakan yang kita menyembah dan memuji Tuhan dan Yesus adalah penyelamat dan petunjuk kita. Ada yang akan berkata yang mereka kerap menghadiri Misa Ahad dan mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktiviti di gereja. Tetapi, apakah yang harus kita lakukan sebagai seorang Kristian?

Manakala aktiviti-aktiviti lain dan acara-acara gereja adalah baik, tugas utama kita sebagai seorang Kristian ialah untuk mengkhabarkan Berita Baik, seperti yang dinyatakan oleh Santo Paulus di dalam bacaan hari ini. Bukan itu sahaja, Santo Paulus juga ada menyatakan di dalam bacaan bahawa Roma, kepada mereka surat itu diutuskan, adalah juga ditugaskan untuk mengkhabarkan Berita Baik. Ini bermakna bahawa pengkhabaran Berita Baik bukan sahaja dikhaskan untuk para pemimpin agama, tetapi setiap seorang Kristian adalah diharapkan untuk melakukan bahagian masing-masing di dalam mengkhabarkan Berita Baik, dengan satu cara atau yang lain. Oleh yang demikian, janganlah kita leka atau cuba mengelakkan tanggungjawap kita, tetapi pergi melakukan apa yang telah diharapkan kepada kita.

Jumaat, 9 Oktober 2015

Jumaat Minggu Biasa Ke 27 Tahun 1

Pernahkah kamu berhenti sejenak untuk memikirkan tentang apa akan berlaku kepada kamu jika kamu cemburu, terutamanya jika kamu membenarkan perasaan itu membarah dan mengawal kamu? Ada yang akan terpegun dan malu apabila menyedari akan kesannya jika mereka membenarkan diri mereka berasa cemburu. Ada yang berlaku bodoh dan tidak menentu, mereka mula bercakap perkara yang bukan-bukan atau sesuatu yang mungkin akan menjadikan diri mereka kelihatan bodoh. Ada pula yang akan mula membuang masa dan tenaga di dalam usaha merancangkan sesuatu untuk memusnahkan orang lain, padahal mereka boleh menggunakan masa dan tenaga itu untuk melakukan sesuatu yang baik. Ada pula yang tidak dapat tidur dan menjadi bertambah resah, bila melihat orang lain kelihatan lebih maju atau lebih berjaya daripada mereka, dan akhirnya kesihatan mereka terganggu. Tapi pada pengakhiran harinya, mengapakah kita harus berasa cemburu? Apakah sebenarnya yang kita hendak buktikan?

Di dalam Al Kitab hari ini, kita membaca, "Pada suatu hari Yesus mengusir roh jahat daripada seorang bisu. Setelah roh jahat itu keluar, orang itu mula bercakap. Orang ramai hairan, tetapi ada beberapa orang yang berkata, "Beelzebul, ketua semua roh jahat telah memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat" Ada juga orang lain yang hendak memerangkap Yesus. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. Tetapi Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Lalu Dia berkata kepada mereka, "Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan akan hancur. Jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, bagaimanakah kerajaan itu dapat bertahan? Kamu berkata Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberi kuasa oleh Beelzebul. Jika demikian, siapakah yang memberikan kuasa kepada pengikut kamu untuk mengusir roh jahat? Pengikut kamu sendiri membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah!" Dengan jelas kita dapat melihat yang sesetengah orang itu telah membenarkan perasaan cemburu mereka mengambil alih diri mereka, menyebabkan mereka berkata yang bukan-bukan. Mereka cuba memperkecilkan Yesus tetapi sebaliknya mereka memperkecilkan diri mereka sendiri. Semoga kita lebih berjaga-jaga terhadap bahaya-bahaya yang timbul bila membenarkan perasaan cemburu menguasai diri kita, takut nanti kita akan akhirnya menjadi lebih buruk daripada keadaan diri kita yang terdahulu.

Khamis, 8 Oktober 2015

Khamis Minggu Biasa Ke 27 Tahun 1

Di dalam kehidupan kita tidak akan sentiasa mendapat apa yang dihajat secepat mungkin. Kadang-kadang kita perlu memohon berkali-kali sebelum hajat kita dikurniakan. Kadang kala pula kita tidak akan mendapat apa yang dihajatkan langsung. Bila kita tidak mendapat apa yang dihajat, apa akan terjadi? Ada diantara kita yang akan berasa seolah-olah Tuhan telah mengabaikan kita atau Tuhan tidak mengambil berat, ada pula yang akan pergi mencari jalan yang lain, mengharapkan jalan yang lain ini akan memberikan kepada kita apa yang dihajatkan. Tetapi biasanya, kita masih juga tidak mendapatnya. Kemudian, bagaimana pula? Adakah kita cuma menyerah sahaja, berasa marah, merajuk dan melepaskan kemarahan? Atau, adakah kita akan bersabar, berterusan dan dengan konsisten, mengharapkan dan meletakkan kepercayaan bahawa Tuhan akan mengurniakan keinginan dan keperluan kita?

Di dalam Al Kitab hari ini, Yesus memberitahu kita, "Ketahuilah, meskipun kamu kawannya, dia tidak mahu bangun dan memberikan roti kepada kamu. Tetapi kerana kamu tidak segan untuk terus menerus meminta, dia akan bangun lalu memberikan apa sahaja yang kamu perlukan" Kadang-kadang kita meminta sesuatu atau meminta pertolongan, tetapi tidak terus menerus meminta dengan sabar dan konsistent. Kadang-kadang apa yang kita pohon mungkin tidak baik untuk kita. Oleh itu kita perlu membezakan samada apa yang dipohon itu adalah benar benar perlu dan diperlukan, dan samada apa yang dipohon akan akhirknya memuliakan Tuhan. Semoga kita sentiasa rendah diri dan cukup bersabar untuk membenarkan Tuhan menerajui hidup kita dan mengurniakan kepada kita apa yang kita benar benar perlukan, menurut masa Nya dan untuk kemuliaanNya.

Rabu, 7 Oktober 2015

Peringatan Bonda Maria Ratu Rosario

Peringatan Bonda Maria Ratu Rosario berasal dari kemenangan angkatan laut di Lepanto pada 7 Oktober 1571. Di dalam peperangan angkatan laut itu, sekumpulan kecil angkatan Kristian telah mengalahkan armada angkatan perkasa Turki, dengan demikian menghentikan penjajahan Eropa Kristian. Kemenangan itu dianggap sebagai satu keajaiban dan Paus St Pius V memberikan sebabnya kepada doa rosario dan doa permohonan melalui Bonda Maria.

Melalui kejadian ini, kita dapati bahawa rosario memang sebenarnya adalah satu doa ibadat khas kepada Bonda Kita. Ramai Paus, para paderi, para ahli agama, para santos dan para jemaah sentiasa mengesyorkan doa ibadat khas ini sebagai salah satu ibadat yang baik. Rosario adalah doa secara bersuara dan mental; dan ia juga doa peribadi dan juga sebagai doa beramai. Bila kita bermeditasi kisah kisah misteri Rosario, kita akan mengalami Kristus melalui Bonda Maria. Bukan sahaja itu, dengan doa Rosario, Bonda Maria juga turut serta berdoa dengan ktia, dan berdoa Rosario juga akan mengekalkan kekuatan kita di dalam memerangi syaitan dan pengikut-pengikutnya. Dengan demikian, janganlah kita leka terhadap doa Rosario dan seperti Bonda Maria menyerahkan diri kita kepada Tuhan supaya Dia menjadi pembantu dan petunjuk kita.

Selasa, 6 Oktober 2015

Selasa Minggu Biasa Ke 27 Tahun 1

Ada di antara kita yang telah pernah mendengar simpulan bahasa Inggeris yang berbunyi "sekali tergigit, kedua kali tidak", yang bermakna jika sesuatu atau seseorang telah pernah sekali melukakan kamu, kamu akan mengelakkan benda itu atau orang berkenaan. Di dalam kisah Yunus, kali ini dia mentaati firman Tuhan, setelah melalui pengalamai yang kurang menyenangkan berada di dalam perut ikan selama tiga hari tiga malam, dan kemudiannya dimuntahkan ke daratan. Yunus pergi memberikan amaran kepada penduduk Niniwe berkenaan malapetaka yang akan menimpa mereka. Penduduk Niniwe menerima amaran Yunus secara sirius, dan Raja juga mengisytiharkan perintah: "Semua orang, lembu, domba dan binatang ternakan yang lain dilarang makan dan minum. Manusia dan binatang mesti memakai kain guni. Setiap orang mesti berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Allah, dan berhenti melakukan perbuatan yang jahat dan kejam. Mungkin Allah akan mengubah fikiranNya dan tidak murka lagi, maka kita tidak akan dibinasakan."

Pembacaan kemudian memberitahu kita bahawa, "Allah melihat perbuatan mereka; Dia nampak bahawa mereka tidak lagi berbuat jahat. Oleh itu Dia mengubah fikiranNya dan tidak melaksanakan hukuman yang dirancangkanNya terhadap mereka". Begitu juga, bila kita mendengar amaran Tuhan dan mentaatiNya, kita juga mungkin dapat mengalami apa yang di alami oleh penduduk Niniwe, dan kita harus mengelakkan daripada mengalami pengalaman yang kurang menyenangkan yang dilalui Yunus. Adakah kita sanggup untuk mengambil secara sirius akan firman Tuhan, sebelum terlambat?

Isnin, 5 Oktober 2015

Isnin Minggu Biasa Ke 27 Tahun 1

Jika Tuhan menyeru kamu dan meminta kamu melakukan sesuatu, adakah kamu akan melakukannya? Atau, adakah kamu akan membuat helah untuk mengelakkan diri dari melakukannya? Ada di antara kita yang mungkin akan lari menyembunyikan diri, dengan harapan Tuhan akan akhirnya melepaskan kita dan tidak menganggu kita lagi, tetapi kebiasaanya ia tidak berlaku. Tuhan Maha Kuasa dan Maha Mengetahui. Ini bermakna tidak kira di mana kita cuba melarikan diri, kita tidak dapat bersembunyi, kerana Tuhan masih boleh mencari dan menjumpai kita juga.

Di dalam pembacaan hari ini, Yunus cuba melarikan diri dari Tuhan, dan sebaliknya tidak melakukan kehendakNya untuk pergi ke Niniwe. Apa yang Yunus gagal menyedari ialah dia bukanlah berurusan dengan sebarang makhluk, tetapi berurusan dengan Tuhan. Yunus cuba melarikan diri dengan menaiki kapal ke Sepanyol (Tarshish), tetapi Tuhan mempunyai rancangan yang lain. Secara lainnya, cara Tuhan melayani Yunus menunjukkan Dia agak melucukan, dengan menyebabkan Yunus ditelan seekor ikan besar, yang kemudiannya memuntahkan Yunus ke daratan setelah berada di dalam perut ikan itu tiga hari tiga malam. Eww, agak menjijikan terperangkap di dalam perut ikan tiga hari tiga malam.

Dengan cara yang sama, kita juga akan mengalami keadaaan yang kurang selesa seperti Yunus, jika kita memilih untuk kerapkali tidak mengendahkan suara Tuhan. Kadangkala kita harus ingat bahawa Tuhan menyeru kita kerana Dia mempunyai perancangan yang lebih baik untuk kita, dan ia akan memberi manafaat kepada kita untuk melakukannya untuk kemuliaan Nya.

Jumaat, 2 Oktober 2015

Peringatan Malaikat Penjaga Yang Kudus:

Pernahkah anda bertemu dengan malaikat? Ada di antara kita yang mungkin telah terpengaruh oleh gambar-gambar malaikat yang kelihatan comel, mempunyai sayap, terbang ke sana ke sini. Tapi, adakah malaikat serupa ini? Di dalam Al Kitab, kita telah membaca di beberapa bahagian petikan yang memberitahu kita bahawa malaikat tidaklah secomel yang disangkakan. Sebenarnya, petikan-petikan tersebut mengambarkan kepada kita bahawa malaikat adalah sangat menakutkan untuk dilihat dan mereka sentiasa berkata: "Janganlah takut." Sudah tentu ianya bukan sesuatu yang ramai di antara kita ingin ketemu.

Tetapi, pembacaan hari ini memberi kita sesuatu yang kita dapat memberi kesyukuran dan untuk difikirkan. Di dalam pembacaan hari ini, kita diingatkan: "Aku akan mengutus malaikat Ku mendahului kamu untuk melindungi kamu dalam perjalanan dan membawa kamu ke tempat yang telah Aku sediakan. Dengarkanlah dan taatilah dia. Jangan berontak terhadap dia kerana dia utusan Ku. Dia tidak akan mengampunkan pemberontakan yang demikian. Tetapi jika kamu taat kepadanya dan melakukan segala perintah Ku, Aku akan berperang menentang semua musuh kamu. Malaikat Ku akan mendahului kamu." Ini bermakna, setiap seorang kita, samada kita sedar ataupun tidak, mempunyai malaikat penjaga untuk menjaga kita. Kadangkala, malaikat penjaga akan mengusik hati sanubari kita dan memberi amaran kepada kita apabila kita hampir melakukan dosa, tetapi ia terpulang kepada kita samada kita akan mengelakkan godaan itu. Juga, kita mungkin telah beberapa kali mengalami keadaan di mana malaikat penjaga telah mengelakkan sesuatu malapetaka berlaku kepada kita. Inilah sebabnya kita harus bershyukur kepada Tuhan atas anugerah malaikat penjaga yang dikurniakanNya kepada kita, dan marilah kita berikhtiar untuk mengelakkan diri dari melakukan dosa, dan pelajari untuk hidup di dalam pelukan kasih dan kurniaNya.

Oh, Malaikat Tuhan, penjagaku yang disayangi, kepadamu diamanatkan kasihNya kepada ku, selalulah berada di sisiku, menyuluhi dan mengawal, memerintah dan membimbing, Amin.

Khamis, 1 Oktober 2015

Peringatan Santa Teresa dari Yesus, Perawan dan Pujangga Gereja

Tangan kita mempunyai lima jari. Antara lima jari-jari ini, ada yang mungkin fikir jari terakhir dan yang terkecillah yang paling tidak mempunyai fungsi yang mustahak. Namun, kita akan terpegun bila mengetahui yang sebenarnya jari terkecil inilah yang paling kuat pada tangan kita. Mengapa pula? Bila kita memegang pisau, tiga jari yang akhir, terutama jari terkecil, digunakan untuk memegang pisau dengan lebih kuat sementara jari ibu dan telunjuk menggunakan kekuatan yang kurang. Juga, cuba memegang tukul tanpa jari terkecil memegang pemegang tukul. Memang agak sukar untuk mengetuk paku ke dinding.

Jadi, agak menarik melihatkan berapa kuat dan berkuasanya jari kecil, bukan? Ia mungkin jari yang terkecil, ia mungkin jari yang terakhir di tangan, ianya hanyalah jari kecil, tetapi ia mempunyai kekuatan yang teramat. Sebenarnya, jika jari itu tiada lagi, agak menyukarkan. Ia akan bermakna kita akan kehilangan daya memegang benda, secara praktikal dan simbolik. Ini dapat membantu kita memahami apa yang dimaksudkan oleh Yesus apabila dia berkata di dalam Al Kitab: Seseorang yang berlaku kecil seperti seorang kanak-kanak, dialah yang terbesar di kerajaan syurga. Seperti juga jari kecil memainkan peranan penting di dalam pegangan, seorang kanak-kanak kecil menunjukkan kepada kita bagaimana kita harus berpegang kuat untuk bergantung kepada Tuhan dan kurniaannya.

Hari ini kita meraikan pesta Santa Teresa dari Yesus. Caranya menuju ke kekudusan dan seterusnya ke kesucian dikenali sebagai 'Cara Kecil'. Dia mempercayai bahawa cara untuk mendekati Tuhan adalah seperti cara seorang kanak-kanak mendekati ibubapanya: dengan tangan terbuka dan kepercayaan sepenuhnya. Santo Teresa menunjukkan contoh bagaimana dia menjalankan kehidupannya dengan 'Cara Kecil' dengan menjalankan tugas tugas yang hina dan rendah diri di biara. Hidupnya hanyalah kehidupan yang biasa sahaja. Tetapi segala yang dilakukannya adalah dengan penuh kasih sayang. Santo Teresa sebagai jari kecil di tangan - kecil tetapi sungguh kuat. Dia mengajar kita dan menunjukkan kepada kita cara kecil dan merendahkan dan hina. Kasih Tuhan yang teramat di pertunjukkan. Semoga kita mencotohinya, dan mempelajari melakukan segalanya, tidak kira seberapa kecil atau kurang mustahak ia mungkin kelihatan, untuk kemuliaan Tuhan.

Rabu, 30 September 2015

Rabu Minggu Biasa Ke 26 Tahun 1

Ada di antara kita mempunyai persangkutan dengan satu dan yang lain. Kita mungkin mempunyai persangkutan dengan ibubapa kita, keluarga kita, anak-anak kita, pelbagai benda, harta kita, pangkat kita, dan yang lain-lain lagi. Kita merasa sukar untuk melepaskan persangkutan ini, dan kadangkala menjadi halangan kepada usaha kita untuk tumbesaran rohani dan bersama lebih dekat dengan Tuhan.

Di dalam Al Kitab hari ini, Yesus mengingatkan dan mencabar kita akan pengorbanan untuk menjadi pengikut.. Untuk menjadi pengikut, setiap orang harus memikul salibnya sendiri dan mengikutNya, hinggalah ke tahap melepaskan segala persangkutan dengan ibubapa, ahli keluarga dan perkara-perkara lain yang mungkin akan mengalihkan perhatian atau menjadi beban untuk kita menjadi pengikut yang effektif. Tugas dan misi sebagai pengikut ialah untuk keluar dan mengkhabarkan Berita Baik, dan sekiranya kita mempunyai persangkutan atau terganggu akan keinginan dan keperluan orang lain, bagaimanakah kita akan boleh menjalankan apa yang diharapkan kepada kita secara bebas dan dengan gembira? Semoga kita merendahkan diri dan jinak untuk membenarkan Tuhan mengambil alih hidup kita ini, dan belajar untuk tidak tersangkut, supaya kita dapat melayan Nya untuk kemuliaan Nya.

Selasa, 29 September 2015

Pesta Santo Mikhael, Gabriel dan Raphael, Malaikat Agung

Adakah kamu percaya hantu-hantu wujud? Ada orang bukan sahaja percaya, tetapi mereka menjadi agak karut dan memakai segala jenis tangkal atau azimat, melaung doa, mempersembahkan persembahan seperti buah-buahan dan makanan, mengelakkan dari pergi berdekatan sesuatu tempat seperti kubur di waktu malam, dan pelbagai macam perkara lagi. Orang sedemikian takut akan hantu-hantu ini akan membawa nasib yang kurang baik atau malapetaka jika terserempak dengan hantu.

Untuk sesetengah orang, hantu dianggap jahat dan jahil dan perlu dielakkan sebaik mungkin. Tetapi, adakah semua hantu itu jahat? Tidak. Masih ada roh-roh yang baik yang boleh membantu kita dalam satu cara atau cara yang lain, kadang-kadang dengan kita tidak menyedari yang mereka wujud. Salah satu roh-roh itu ialah malaikat atau malaikat agung seperti Mikhael, Gabriel dan Raphael, pesta yang kita sambut hari ini. Nama Mikhael bermakna "yang serupa Tuhan". Di dalam Al Kitab, Santo Mikhael telah di suatu masa dahulu mengetuai peperangan menentang Syaitan (Wahyu 12:7-9) dan keazamannya adalah tertumpu kepada matlamat menuju kepada kebaikan: dia penyelamat roh-roh yang menggunakan pedang keadilan yang soleh menentang Syaitan. Gabriel bermakna "Tuhan kekuatan saya". Di dalam Al Kitab, Dia menjelma kepada Zakharia (Lukas 1:13) dan kepada Bonda Maria (Lukas 1:27-28). Gabriel membawa kita utusan Tuhan kekuatan di mana kita dapat menaruh harapan: Tuhan Yang Dijadikan yang tidak lama lagi akan masuk ke dalam tawarikh kerana cinta kasihNya untuk manusia. Raphael bermakna "Tuhan adalah kesihatan saya". Raphael adalah salah satu daripada tujuh malaikat yang "berdiri di hadapan Tuhan Yang Agung, siap untuk melayani Nya" (Tobit 12:15). Makna nama Raphael mencerminkan hakikat di mana dia menyentuh mata Tobit supaya dapat menyembuhkan kebutaannya.

Walaupun Tuhan tidak dapat diperlihatkan, namun melalui ketiga-tiga malaikat agung, Dia telah memjelmakan kekuasaan dan kehadiranNya. Setiap malaikat dihantar oleh Tuhan untuk menjadi penolong dan penunjuk kita, kerana malaikat tidak boleh memberikan arahan dengan sendiri, tetapi menghantarkan arahan daripada Tuhan kepada kita. Semoga kita menjadi jinak dan merendahkan diri untuk mendengarkan malaikat dan malaikat agung, yang wujud untuk menjadi petunjuk dan penunjuk kita, supaya dengan pertolongan mereka, kita dapat mendekati Tuhan pengasih kita.

Isnin, 28 September 2015

Isnin Minggu Biasa Ke 26 Tahun 1

Apakah yang kamu paling hargai di dalam kehidupan? Ada orang menghargai kenamaan, pengiktirafan, kuasa, kekayaan atau populariti. Orang sedemikian akan cuba sedaya upaya untuk mencapai apa yang dihargainya, kerana ingin kelihatan terbaik, terpandai dan terbesar. Sekiranya kita berfikir sejenak, kita akan menyedari bahawa kesemua yang kita hargai adalah kerana kita bangga dengan diri sendiri dan untuk memuaskan ego kita. Tetapi semua yang kita hargai ini hanyalah sementara. Kita tidak dapat membawanya bersama-sama kita bila kita meninggal dunia. Walaupun pada masa kita masih hidup, keadaan boleh menyebabkan kita kehilangan semuanya ini, kadangkala ia berlaku di luar kawalan kita. Apa yang akan terjadi? Apakah yang akan kita lakukan?

Dalam Al Kitab hari ini, kita diberitahu, "Pertengkaran timbul antara pengikut-pengikut Yesus tentang siapa yang terbesar. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Oleh itu Dia menyuruh seorang kanak-kanak berdiri di sisiNya. Lalu Dia berkata kepada mereka, "Sesiapa yang menyambut kanak-kanak ini kerana Aku, menyambut Aku. Dan sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutuskan Aku. Sesiapa yang terkecil antara kamu, dialah yang terbesar!" Bagaimana pula seorang kanak-kanak boleh jadi terbesar? Ia memang sebenarnya kerana seorang kanak-kanak itu jinak dan bergantung kepada ibubapanya, dan tidak cuba merangsangkan egonya. Kita juga boleh jadi terbesar, bukan kerana kita cuba merangsangkan kebanggaan diri dan ego kita, tetapi sebab kita merendahkan diri kita dan bergantung kepada pertolongan dan rahmat dari Tuhan. Kita juga akan menjadi terbesar, jika semua yang kita lakukan, kita lakukan untuk kemuliaan Tuhan, dan bukan untuk kepuasan diri. Soalannya: Adakah kita mencari kebesaran di kalangan kita di dunia ini, kebesaran yang hanya sementara dan akan dilupakan atau lenyap? Atau sudahkah kita memahami yang kita tidak terlalu mengambil berat tentang kebesaran, dan hanya terus melakukan kehendak Tuhan?

Jumaat, 25 September 2015

Jumaat Minggu Biasa Ke 25 Tahun 1

Bila kita dikaitkan dengan seseorang pemimpin, ramai di antara kita yang sudah tentunya ingin dikaitkan dengan seorang yang ditakdirkan menjadi lebih penting, atau dengan seseorang yang mempunyai rekod prestasi yang hebat, atau seseorang yang berjaya, atau juga seseorang yang berkebolehan menghasilkan sesuatu keputusan yang akan menafaatkan kita. Berapa ramaikah di antara kita yang ingin dikaitkan dengan seorang yang akan di caci, dianiaya ataupun yang akan diwafatkan? Menurut alam duniawi, orang seperti itu dianggap seorang yang kalah, atau seorang yang hanya akan membawa kemusnahan kepada kita, yang kita harus elakkan sebaik boleh. Namun, sebagai umat Kristian, bagaimanakah kita berfikir seorang pemimpin harus menjadi?

Di dalam Al Kitab hari ini, Yesus memberitahu kita, "Anak manusia mesti mengalami banyak penderitaan, serta ditentang oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan." Jika kita memperlihatkan apa yang disampaikan oleh Yesus menurut pandangan dari sudut duniawi, sudah tentunya berbunyi kurang menarik atau indah, kerana pemimpin sedemikian akan diwafatkan, dan dibangkitkan pada hari yang ketiga? Seluruh dunia akan ketawa dan mendakwa perkara sedemikian tidak mungkin berlaku. Tetapi Yesus membuktikan kepada dunia, dan kepada kita, yang Dia telah wafat dan dibangkitkan, kerana tujuannya sebagai pemimpin bukanlah untuk mendapatkan pengiktirafan dunia, tetapi untuk menyelamatkan kita dari dosa kita. Kepimpinan yang diajarkan oleh Yesus dikenali sebagai pemimpin pelayan, di mana kita melayani orang lain, walaupun sehingga mati, bukan untuk kemuliaan diri kita atau kepuasan diri, tetapi untuk kemuliaan Tuhan.

Hari ini kita, sebagai umat Kristian diseru oleh Yesus untuk mencontohiNya dan cara kempimpinanNya. Kita diseru untuk memikul salib dan mengikutNya, kerana melaluiNya kita akan menerima kurnia keselamatan. Akhirnya, kita mempunyai pilihan: mengikut cara duniawi dan idea kepimpinannya, atau mengikut cara cara Yesus dan membenarkan Dia menjadi pembantu dan petunjuk kita.

Khamis, 24 September 2015

Khamis Minggu Biasa Ke 25 Tahun 1

Adalah sememangnya satu perasaan yang tidak menyenangkan apabila kita telah melakukan sesuatu kesalahan dan kita sentiasa hidup dengan perasaan bahawa apa yang telah kita lakukan akan pada suatu hari nanti kembali menhantui kita. Sesiapa yang telah melakukan dosa yang besar akan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga, resah dan risau sekiranya kebenaran di ketahui. Ada ungkapan Melayu yang berbunyi, "Sepandai pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga." Dalam perkataan lain, kita boleh melarikan diri tetapi kita tidak boleh bersembunyi untuk selama-lamanya, kerana kebenaran akan kembali dan akan terkena kepada diri kita akhirnya.

Di dalam Al Kitab hari ini, Raja Herodes menghormati dan menakuti Yohanes Pembaptis sebagai seorang pengkhutbah yang penting dan pelayan Tuhan. Namun, dengan dorongan dan keinginan untuk mengembirakan keluarga dan kawan-kawannya, Raja Herodes telah menhukum pemancungan kepala Yohanes Pembaptis. Kini hati nuraninya di sentuh bila dia mendengar bahawa ada yang memikirkan bahawa Yohanes Pembaptis telah bangkit semula. Oleh sebab itu, Raja Herodes ingin berjumpa dengan Yesus kerana perasaan ingin tahu, keresahan dan ketakutan berbanding dengan perasaan ikhlas untuk mengenali Yesus.

Adakah kita sentiasa hidup dalam ketakutan? Rahmat kasih Tuhan membebaskan kita dari segala perasaan takut dan berdosa, dan membolehkan kita untuk menolak segala yang salah dan memilih untuk melakukan yang baik. Semoga kita sanggup berjalan dengan cara Tuhan, dan sentiasa bebas dari segala ketakutan dan keresahan sambil bergantung kepada kasih Nya dan rahmat dariNya.

Rabu, 23 September 2015

Rabu Minggu Biasa Ke 25 Tahun 1

Jika kamu tiba-tiba sedar bahawa kamu mempunyai sesuatu perkara penting untuk dilaksanakan, atau ada sesuatu tugasan pembelajaran yang akan menentukan keputusan di sekolah atau di universiti, atau sesuatu tugasan penting yang telah diberikan kepada dan kamu langsung terlupa tentangnya, apakah yang akan kamu lakukan? Sudah tentunya, kamu akan bertungkus lumus menumpukan segala usaha untuk melakukannya secara pantas dengan harapan ianya dapat diselesaikan mengikut tarikh yang ditetapkan. Ada di antara kita yang sanggup untuk tidak makan, tidak tidur dan lain-lain untuk mempunyai lebih masa. Tapi, berapa ramaikah daripada kita yang akan melakukan yang sama di dalam menngkhabarkan Berita Baik? Adakah kita menganggap penkhabaran Berita Baik itu cukup mustahak dan sangat perlu disegerakan sehingga kita sanggup berkorban untuk melaksanakan tugasan sebegitu? Atau adakah kita sudah menjadi leka memikirkan kita masih mempunyai banyak masa lagi atau kita berasa ianya tidak begitu penting?

Di dalam Al Kitab hari ini, kita diberitahu, "Yesus memanggil dua belas orang pengikut Nya, lau Dia memberi mereka kuasa dan wibawa untuk mengusir roh jahat serta menyembuhkan penyakit. Setelah itu Dia mengutus mereka pergi menyembuhkan orang sakit dan mengkhabarkan berita tentang bagaimana Allah memerintah. Yesus berkata kepada mereka, "Janganlah bawa apa-apa untuk perjalanan kamu, baik tongkat, beg sedekah, makanan, wang, mahupun dua helai pakaian. Di mana sahaja kamu disambut, tinggallah di rumah itu sehingga kamu meninggalkan kota itu. Di tempat kamu tidak disambut orang, tinggalkan kota itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu sebagai amaran kepada mereka." Pengikut-pengikut Nya berangkat, lalu pergi ke semua pekan untuk mengkhabarkan Berita Baik itu dan menyembuhkan orang sakit di mana-mana." Perasankan bahawa Yesus telah mengarahkan mereka supaya tidak membawa apa-apa untuk perjalanan tersebut, kerana Dia tidak mahu mereka membebankan diri dengan banyak perkara, dan Dia hendak mereka untuk pergi dengan segera dan dengan segera mengkhabarkan Berita Baik dan melakukan penyembuhan. Jika kita orang Kristian, pengikut Kristus, tidakkah kita seharusnya mengambil tugasan mengkhabarkan Berita Baik dengan serius? Atau adakah kita terlalu selesa dan berehat, mengambil masa selambanya, dan bersuka-ria di dalam hidup kita?

Selasa, 22 September 2015

Selasa Minggu Biasa Ke 25 Tahun 1

Kadang kala kita bertemu dengan orang-orang yang cuba menunjuk-nunjuk dan mendakwa bahawa mereka mempunyai hubungan istimewa dengan uskup atau paderi paroki, terutama sekiranya mempunyai pertalian persaudaraan. Orang-orang sedemikian berfikir, hanya kerana mereka mempunyai sedikit sebanyak pertalian persaudaraan dengan uskup atau paderi paroki, mereka mempunyai hak untuk menuntut sesuatu faedah, layanan istimewa, atau keistimewaan yang lain. Tetapi, sebagai umat Kristian, adakah kita mempunyai hak untuk menuntut perkara-perkara ini? Apakah sikap yang harus kita perolehi?

Di dalam pembacaan hari ini, Yesus memberitahu kita, "Orang yang mendengar firman Allah serta mentaatinya, merekalah ibu dan saudara-saudara Ku." Kepada Yesus, mempunyai persahabatan istimewa, perhubungan persaudaraan ataupun perhubungan kekeluargaan denganNya sahaja tidak mencukupi. Sebagai umat Kristian, kita tidak seharusnya hanya mendengar firman Allah, kerana semua orang boleh berbuat demikian tetapi masih tidak melakukannya. Apa yang lebih penting kepada Yesus ialah kita janganlah sahaja mendengarkan firman Allah tetapi juga bertindak melakukannya. Oleh itu, janganlah kita terlalu asyik dengan hanya pertalian perhubungan, tidak kira berapa rapat kita mendakwa hubungan kita dengan Yesus, tetapi sebaliknya kita harus lebih menumpukan kepada mendengarkan firman Allah dan mengongsinya dengan orang lain.

Isnin, 21 September 2015

Pesta Santo Matius, Rasul

Sekali sekala, kita bertemu dengan orang yang cuba menunjukkan kekuasaan atau kepentingan mereka di gereja. Orang sedemikian akan cuba sedaya upaya untuk memberitahu yang lain berapa pentingnya diri mereka ini, atau berapa rapat hubungannya dengan uskup ataupun paderi paroki atau berapa mustahaknya mereka di dalam memastikan sesuatu kementerian gereja berfungsi. Ada di antara kita yang akan mendapati orang sedemikian menjijikkan, kerana mereka seolah olah cuba sedaya upaya untuk mendapat perhatian dan mereka membuat persembahan besar semasa melakukan tugasnya. Tetapi sebagai umat Kristian, apakah sikap yang harus kita tunjukkan terhadap peranan dan tanggungjawab di dalam kementerian atau sebagai gereja?

Di dalam pembacaan hari ini, Santo Paulus mengingatkan kita, "Itulah sebabnya aku - orang yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Tuhan - menggesa kamu supaya hidup sesuai dengan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah ketika Dia memanggil kamu. Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu. Berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara... Setiap orang daripada kita menerima suatu kurnia menurut apa yang diberikan oleh Kristus... Beberapa orang dilantik Nya menjadi rasul, yang lain menjadi nabi, yang lain lagi menjadi pembawa Berita Baik, dan yang lain pula menjadi guru dan pemelihara jemaah. Hal itu dilakukanNya supaya umat Allah dapat melakukan pelayanan yang sepatutnya dilakukan oleh pengikut Kristus, sehingga tubuh Kristus dikuatkan."

Sebagai umat Kristian, tugas kita adalah untuk melayan dengan rendah hati, lemah lembut dan sabar, seperti yang diperingatkan oleh Santo Paulus. Jika hasrat kita hanya untuk mendapatkan perhatian kepada diri kita bila melayan, adakah kita melayan Tuhan, atau adakah kita sebenarnya melayan diri sendiri? Marilah kita memeriksa diri kita sendiri dan beringat bahawa akhirnya, semua yang kita lakukan tidak sepatutnya untuk mendapatkan keagungan peribadi kita dan kepuasan diri, tetapi untuk kemuliaan Tuhan.

Jumaat, 18 September 2015

Jumaat Minggu Biasa Ke 24 Tahun 1

Apakah tujuan kita sebagai umat Kristus? Adakah kita umat Kristus yang ingin melayan Tuhan dan melayan orang lain? Atau adakah sesetengah dari kita yang telah menjadi lebih berminat di dalam melayan diri sendiri? Bila kita memerhatikan gereja yang kita hadiri, adakah ia gereja yang hanya berminat untuk mengumpul wang dan bahawa pertumbuhan/pembesaran rohani untuk yang beriman itu hanya permainan wayang, tersekat atau tidak wujud langsung? Kadang-kadang kita bersalah di dalam meletakkan harga kepada segalanya atas nama agama. Umpamanya, ada yang sanggup di tipu untuk membayar sebegitu banyak wang untuk menghadiri perhimpunan penyembuhan yang dianjurkan oleh seseorang yang digelar pastor yang terkenal yang mendakwa yang dia boleh menyembuhkan sesiapapun, padahal Yesus tidak mengenakan sebarang bayaran untuk menyembuh orang. Orang memberi dengan keikhlasan hati mereka dan bukannya dipaksa atau dipujuk. Adakah gereja yang kita hadiri mempunyai sikap sebegitu, di mana semuanya berkenaan wang? Adakah kita sendiri juga mempunyai sikap begitu? Adalah menarik perhatian apabila ada yang berfikir mereka boleh membayar untuk perjalanan mereka ke syurga, lebih menyerupai 'rahmat murahan' di mana lebih banyak wang didermakan, akan meningkatkan peluang mereka ke syurga. Adakah gereja kita dan sesetengah daripada kita sudah mula mempunyai pemikiran begitu?

Di dalam pembacaan hari ini, Santo Paulus mengingat dengan tegasnya, "Engkau harus mengajarkan perkara-perkara ini kepada jemaah dan menggalakkan mereka melakukannya. Sesiapa mengajarkan ajaran yang bertentangan dengan ajaran benar daripada Tuhan kita Yesus Kristus dan ajaran agama kita, dia sombong dan tidak tahu apa-apa! Keinginannya tidak wajar. Dia suka berdebat dan bertengkar tentang istilah sehingga mengakibatkan kecemburuan, perselisihan, penghinaan, kecurigaan, dan pertengkaran yang tidak habis-habis dengan semua orang yang tidak tahu berfikir dan tidak mengenal apa yang benar. Mereka menyangka dapat menjadi kaya kerana beragama. Agama memang menyebabkan orang menjadi kaya, jika orang puas dengan apa yang dimiliki. Adakah kita membawa sesuatu ke dalam dunia ini? Tidak! Dapatkah kita membawa sesuatu ke luar dunia ini? Tidak! Oleh itu, cukuplah jika kita mempunyai pakaian dan makanan."

Di sinilah kita harus bertanya diri kita dengan sebenar-benarnya: adakah kita gereja yang mementingkan wang? Kadang-kadang kita akan mengetahui bahawa gereja yang kita kunjungi hanya mementingkan wang, jika yang kaya, yang berpengaruh dan kaya raya dilayan dengan baik, tetapi yang miskin, yang tersingkir, mereka yang tidak begitu kaya, dan juga mereka yang bertungkus lumus mencari nafkah diberi hanya sedikit atau kurang perhatian. Jika gereja yang kita hadiri, melayan umat dengan cara berlainan yakni dengan wang dan ringgit, mungkin kita harus secara sirius mempertimbangkan samada gereja itu adalah gereja Yesus Kristus yang sebenar.

Selasa, 8 September 2015

Pesta Kelahiran Santa Perawan Maria

Ada di antara kita yang berfikir kita bukanlah orang kenamaan, yang kita ini gulungan segelintir yang kecil dan tidak penting, dan kita juga berfikir bahawa pendapat kita tidak dihargai, kerana kita tidak mempunyai keberanian, kekuatan, populariti atau kuasa tertentu. Apa yang kita mungkin gagal menyedari ialah kadang kala orang yang mungkin tiada kenamaan itu berkemungkinan bijak atau lebih bijak di dalam cara pemikiran dan tingkah laku. Oleh kerana orang orang sedemikian tiada apa apa yang berharga atau tidak penting di mata dunia, kita mungkin telah mengenepikan atau tidak mengambil mereka secara serius, padahal sebenarnya, harga dan kepentingan mereka hanya boleh dapat dilihat jika kita memandang secara mendalam dengan mata beriman.

Di dalam pembacaan hari ini, kita diberitahu bahawa Bethlehem pada orang Yahudi adalah sebuah kota yang kecil dan tidak penting. Pembacaan terus memberitahu kita "Hai Bethehem Efrata, engkaulah salah satu kota yang terkecil di negeri Yehuda, tetapi daripadamu Aku akan memberi Israel seorang penguasa; asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba.. Dia akan memerintah rakyatnya dengan kekuatan daripada Tuhan, dan dengan keagungan Tuhan, Allah sendiri. Rakyatnya akan hidup aman kerana semua bangsa di bumi akan mengakui kebesaranNya, dan dia akan mendatangkan keamanan" Daripada sebuah kota yang kecil dan tiada kepentingan, lahirlah Penyelamat kita, Yesus. Daripada kota yang ramai tidak menyangkakan, Raja segala raja kita dan Putera Keamanan muncul membawa Berita Baik tentang keselamatan Tuhan kepada semua.

Oleh sebab ini lah, kita tidak harus mengangap orang lain secara sia sia. Sebagai contohnya, Bonda Maria, yang kita meraikan harijadi nya hari ini. Kepada orang lain, dia hanyalah seorang gadis Yahudi yang lain, tiada kebesaran atau kepentingan. Tetapi Tuhan telah menjadikannya bonda kepada Anak Tuhan, Yesus, bonda Tuhan. Tuhan telah mengubahkan apa yang difikirkan orangramai sebagai tidak berkepentingan, kepada sesuatu yang penting dan ternama, jikalau kita memandang dengan mata beriman dan penuh kepercayaan. Marilah kita berterima kasih kepada Tuhan atas anugerah Bonda Maria dan anugerah setiap satu kita ini, kerana kita telah dijadikan menyerupai Nya, dan bahawa kita ini adalah ternama dan terpenting di mata Tuhan.

Isnin, 7 September 2015

Isnin Minggu Biasa Ke 23 Tahun 1

Ramai di antara kita merupakan orang yang sibuk, tetapi kita perlu ingat supaya kesibukan itu tidak keterlaluan. Kadangkala kita melakukan terlalu banyak sehingga mengabaikan perkara yang lain. Perkara yang lain itu mungkin kesihatan kita, dan di dalam berkerja keras menjejaskan pula kesihatan atau melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Atau perkara yang lain itu, mungkin juga menjarangkan perhubungan keluarga dan sahabat. Atau perkara lain itu mungkin juga melemahkan hubungan kita dengan Tuhan. Kita harus ingat bahawa hari Tuhan ataupun hari Sabat adalah untuk semua para umat Katolik untuk berkumpul di Misa untuk disuburkan oleh Tuhan Yesus. Seperti juga Tuhan "Pada hari yang ketujuh, Allah menyelesaikan pekerjaanNya, lalu Dia berehat," kehidupan manusia mempunyai irama bekerja dan rehat. Institusi Hari Tuhan membantu orangramai menikmati rehat yang secukupnya dan masa lapang untuk kehidupan kekeluargaan, kebudayaan, sosial dan agama.

Dengan apa yang telah diperkatakan, kita menemui ahli ahli taurat dan Farisi di dalam pembacaan hari ini, yang mempunyai pandangan yang melampau tentang hari Sabat. Mana mana manusia yang logik dan layak sudah tentunya akan bersetuju dengan Yesus di dalam melakukan perkara yang baik dan untuk menyelamatkan nyawa pada hari Sabat, jika dan apabila diperlukan. Tetapi tidak pada ahli ahli taurat dan Farisi, kerana mereka ini terlalu melampau dan degil berkenaan tidak melakukan sesuatu apapun di hari Sabat. Yesus terpegun dengan sikap mereka, tetapi masih terus membaik pulihkan orang yang bertangan lumpuh sebelah itu. Sudah tentunya, tindakan Yesus ini tidak diterima oleh ahli ahli taurat dan Farisi, dan mereka pun mula berbincang untuk mencari jalan terbaik menguruskan Yesus.

Kadang kala, kita juga bersalah seperti ahli ahli taurat dan Farisi ini. Ada di antara kita yang melakukan perkara-perkara yang tak sepatutnya pada hari Sabat, ada pula yang tidak melakukan apa apa pun termasuk juga tidak melakukan perkara yang baik, sepertilah ahli ahli Taurat dan Farisi. Sudahkah kita lupa bahawa pada pengakhirannya, apa yang dikehendaki Tuhan adalah "bekas kasihan dan bukannya pengorbanan?"

Jumaat, 28 Ogos 2015

Jumaat Minggu Biasa Ke 21 Tahun 1

Sesetengah daripada kita sungguh mudah terganggu oleh berbagai-bagai perkara di dalam kehidupan di dunia ini, sehingga kita leka di dalam usaha kita untuk bersedia menemui Tuhan Yesus. Ada di antara kita yang berfikir kita mempunyai banyak masa lagi untuk pertumbuhan rohani dengan Tuhan, dan berlengah lengah, berfikir dengan keyakinan bahawa akhirnya kita akan kembali ke jalan Tuhan. Tetapi, adakah kita mempunyai masa sebanyak itu?

Di dalam Al Kitab hari ini, kita menemui sepuluh orang pengapit pengantin perempuan: lima yang bodoh, lima lagi berakal. Kesemuanya sepatutnya pergi bertemu dengan pengantin lelaki, tetapi pengapit-pengapit yang bodoh hanya membawa lampu pelita tanpa membawa minyak yang lebih, padahal yang berakal membawa kedua-duanya sekali. Pengantin lelaki sampai lewat dan pengapit pengapit yang bodoh telah kehabisan minyak. Oleh demikian, mereka terpaksa pergi membeli lebih minyak, dan semasa ketiadaan mereka, sampailah pengantin lelaki. Akibatnya, kesemua pengapit yang bodoh itu telah terkunci di luar dewan majlis perkahwinan. Seperti pengapit pengapit bodoh yang terkunci di luar ini, kita juga mungkin akan mendapati diri kita ini terkunci di luar apabila bersemuka dengan Tuhan, sekiranya kita juga membodohkan diri untuk membuat persediaan menemui Tuhan. Tuhan telah memberikan kita banyak peluang untuk pertumbuhan rohani dengannya, dan terpulang kepada kita untuk berakal fikiran untuk melaksanakan bahagian kita. Jadi, janganlah kita leka lagi tetapi bersedialah, kerana kita tidak akan ketahui hari atau masaNya.

Khamis, 27 Ogos 2015

Khamis MInggu Biasa Ke 21 Tahun 1

Berasa mengantuk di waktu siang hari akan membahayakan kesihatan dan juga akan membawa akibat yang buruk. Kita telah menyaksikan bagaimana ada sesetengah orang yang tertidur semasa memandu kenderaan dan akhirnya menemui kesan yang buruk. Di tempat kerja juga, kita mungkin akan bertemu masalah atau keadaan merbahaya jikalau kita didapati tertidur oleh majikan, atau tertidur semasa sedang mengendalikan peralatan yang berbahaya. Inilah sebabnya kita perlu berdisiplin dan mendapatkan rehat secukupnya, agar kita peka dan bersedia untuk melakukan kerja-kerja kita dan tangungjawap yang lain.

Di dalam Al Kitab hari ini, Yesus memberikan amaran supaya peka untuk sebab yang berlainan. Dia bukannya memberi amaran kepada sifat mengantuk fizikal kita tetapi sifat mengantuk dari segi rohani. Kita mungkin mengantuk di dalam menghadirikan diri ke misa-misa, atau mengantuk di dalam tetap menghadirkan diri untuk pengakuan, atau mengantuk di dalam doa dan meditasi yang tetap. Bila kita mengantuk dari segi rohani kita, kita akan terperangkap dengan keadaan tidak bersedia, atau tidak menyedari ketika Yesus datang dan memanggil kita untuk memberikan hal (akaun) kisah penghidupan kita, terutama setelah Yesus memberi amaran, "Oleh itu, kamu pun hendaklah sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka" Dengan demikian, kita mempunyai pilihan,: adakah kita masih ingin terus berasa mengantuk dari segi rohani yang akan mengugatkan masa depan kita yang kekal, atau adakah kita akan berusaha untuk sentiasa peka dan bersedia untuk Tuhan Yesus?

Selasa, 25 Ogos 2015

Selasa Minggu Biasa Ke 21 Tahun 1

Sebagai umat Kristian, kita sentiasa diingatkan untuk pergi dan mengisytiharkan Berita Baik. Ini bukan sahaja satu permintaan ataupun cadangan, tetapi perintah daripada Tuhan Yesus, satu tangungjawap untuk kita semua. Kita umat Kristian semua telah di panggil untuk mengisytiharkan Berita Baik, bukan sahaja untuk para paderi, para ulamak dan mubaligh. Tetapi apabila kita pergi mengisytiharkan Berita Baik, apakah matlamat atau agenda sebenarnya di dalam berbuat demikian? Adakah kita melakukannya untuk kebesaran kemuliaan Tuhan, atau adakah kita melakukannya untuk kebesaran diri atau keuntungan diri sendiri dan untuk menambahkan reputasi dan ego kita?

Di dalam pembacaan hari ini, Santo Paulus mengingatkan rakyat Tesanolika dan kepada kita semua "Rayuan kami kepada kamu tidak berdasarkan kesilapan ataupun maksud yang tidak murni. Kami juga tidak cuba memperdayakan sesiapapun. Sebaliknya kami sentiasa berkata-kata sebagaimana yang dikehendaki Allah, kerana kami di anggap layak oleh Allah untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Kami tidak berusaha untuk menyenangkan hati orang, tetapi kami berusaha untuk menyenangkan hati Allah yang menguji hati kami. Kamu tahu bahawa kami tidak datang kepada kamu dengan kata-kata yang mengangkat, ataupun dengan maksud untuk mengambil untung daripada kamu. Allah saksi kami! Kami tidak berusaha untuk mendapat pujian daripada sesiapa pun, baik daripada kamu mahupun daripada orang lain. Sebeanarnya sebagai rasul Kristus kami boleh menuntut sesuatu daripada kamu. Tetapi apabila kami bersama-sama kamu, kami bersikap lemah lembut seperti seorang ibu yang menjaga anak-anaknya. Kerana kami mengasihi kamu, kami bersedia mati bagi kamu di samping memberitahu kamu Berita Baik daripada Allah."

Akhirnya, kita perlu mengenal pasti motif (hasrat/matlamat) kita dan kembali kepada mengisytiharkan Berita Baik dengan motif sebenarnya, hasrat sebenarnya dan pelupusan sebenarnya disebabkan semua yang dilakukan kita bukanlah untuk diri kita, tetapi untuk kebesaran dan kemuliaan Tuhan.

Isnin, 24 Ogos 2015

Pesta Santo Bartolomeus, Rasul

Kadang kala kita mendengar ungkapan "jangan menilai buku melalui kulit buku sahaja" (don't judge a book by it's cover) Sebenarnya ungkapan ini bermaksud, janganlah kita menilai kualiti atau watak seseorang atau sesuatu benda hanya dengan memerhati atau mendengar mengenainya. Adakalanya apa yang kita lihat atau dengar mungkin telah dikaburi dengan mata dan telinga yang dipenuhi prasangka, dan melainkan jikalau kita tergerak hati oleh roh kudus Tuhan, kita mungkin gagal untuk mengenali dan menghargai perangai, bakat dan kebolehan seseorang itu.

Di dalam pembacaan Al Kitab hari ini, kita mengenali Santo Bartholomew (yang juga dikenali sebagai Nathaniel) yang berasal dari Cana di Galilee. Daripada Al Kitab, kelihatan seolah olah pada mulanya Santo Bartholomew pada mulanya tidak mempunyai tanggapan yang baik tentang Yesus dari Nasaret. Apabila dia mendengar tentang Yesus dari Nazareth, dia bertanya "Bolehkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?" Santo Bartholomew menyatakan demikian bukanlah kerana dia membenci Yesus atau Nasaret tetapi kerana Nasaret hanyalah sebuah tempat yang kecil dan tidak penting, dan kepada orang-orang Yahudi, tidaklah mungkin seorang Penyelamat akan muncul dari sana. Santo Bartholomew hanya bercakap dengan terus terang dan jelas, dan Yesus mengenali sifat di dalam Santo Bartholomew itu bila Dia berkata bahawa Santo Bartholomew tidak mungkin akan menipu. Bukan itu sahaja, Yesus dapat melihat lebih dari itu pada Santo Bartholomew; Dia dapat melihat bahawa Santo Bartholomew seorang yang ikhlas dan sedang menunggu kedatangan Penyelamat, yang mana St Bartholomew telah dijumpai "di bawah sepohon pokok fig" semasa waktu berdoa dan membuka hati kepada Tuhan. Akhirnya Santo Bartholomew merendah diri dan cukup terbuka hatinya untuk mengenali Yesus, Anak Tuhan, dan Raja Israel.

Ada di antara kita yang mungkin menyerupai Santo Bartholomew pada suatu masa di dalam hidup kita. Kita mungkin telah tidak mempunyai prasangka yang baik terhadap seseorang pada mulanya, disebabkan akan perkara perkara yang telah kita dengar tentangnya atau asal usulnya. Marilah kita berdoa agar seperti Santo Bartholomew, kita akan akhirnya dapat melihat kebaikan seseorang dan tidak "menilai buku dari muka kulitnya sahaja", sepertimana Yesus dapat melihat kebaikan diri kita.

Jumaat, 14 Ogos 2015

Jumaat Minggu Biasa Ke 19 Tahun 1

Ramai orang mempunyai pendapat yang berlainan berkenaan perkahwinan. Ada yang berpendapat bahawa ianya adalah 'ok' untuk berkahwin dan setelah berkahwin mendapati bahwa mereka tidak bersesuaian/bersependapat, mereka patut bercerai. Yang lainnya, termasuk Gereja Katolik. dengan tegas menyatakan tiada penceraian dibenarkan dan si suami isteri perlu cuba sedaya upaya mencari jalan penyelesaian ke atas perbezaan di antara mereka atau mendapatkan bantuan yang perlu untuk mengekalkan perkahwinan itu. Mengapakah Gereja Katolik begitu tegas mengenai perkahwinan sementara yang lainnya kurang tegas?

Di dalam pembacaan Al Kitab hari ini, Yesus mengingatkan para Farisi dan juga kepada kita, "Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab yang mengatakan bahawa pada mulanya Allah menjadikan orang lelaki dan perempuan? Kemudian Allah berfirman, 'Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu kedua-duanya menjadi satu. Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang, tetapi satu. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia."

Oleh itulah, bila berkenaan dengan perkahwinan, Gereja Katolik memberikan lebih perhatian kepada persediaan sebelum perkahwinan dan kursus pra perkahwinan, dan beberapa program lain yang dapat membantu pasangan di dalam hidup mereka sebagai suami isteri. Berkahwin dan terus hidup sebagai suami isteri di dalam perkahwinan bukanlah seperti menukar pakaian, setiap pasangan harus mengenali sepenuhnya diri mereka dan di antara mereka, dan kepada langkah untuk berkahwin yang ingin diambil mereka. Kadang kala di dalam proses menghadiri kursus pra perkahwinan dan di dalam menguruskan persediaan perkahwinan dengan paderi paroki, pasangan akan dapat mengetahui lebih mengenai satu sama lain yang kemungkinan belum diketahui sebelumnya. Ini akan memberi pasangan peluang untuk memikirkan samada mereka masih ingin menjadi suami isteri sebelum melangsungkan perkahwinan. Majis perkahwinan hanyalah buat sejenak masa manakala berkahwin adalah untuk seumur hidup. Oleh itu, janganlah bermain main dengan perkahwinan, melainkan anda telah bersedia dan bertekad untuk berusaha dan mengekalkan perkahwinan itu, menjadi satu dan senantiasa menyayangi satu sama lain tidak kira apa yang akan terjadi.

Khamis, 13 Ogos 2015

Khamis Minggu Biasa Ke19 Tahun 1

Berapa ikhlaskah pengampunan kita bila kita mengampuni yang lain? Ada di antara kita yang akan berkata kita mengampun tetapi masih menyimpan luka di dalam hati dan akan sentiasa memikirkannya. Ada pula yang mengampun tetapi masih memikirkan apa yang telah berlaku dan enggan melepaskannya. Jadi, apakah sebenarnya pengampunan? Pengampunan ialah di mana seorang mangsa itu secara proses sengaja atau tidak sengaja melalui satu perubahan di dalam perasaan dan perangai berkenaan sesuatu kesalahan yang telah dilakukan kepadanya, melepaskan segala perasaan negatif seperti membalas dendam, dan dengan kelebihan untuk memohon kebaikan ke atas orang yang menyalahinya. Ini bermakna mangsa yang dipersalahkan tidak lagi membiarkan kesalahan itu terpendam di dalam dirinya, dan secara rela menyerahkan kepada Tuhan untuk menolong atau mengubati dirinya secara perlahan.

Di dalam pembacaan Al Kitab hari ini, hamba pertama telah dilupuskan hutangnya dan dibebaskan. Namun si hamba ini tidak menghargai kebaikan tuannya. Dia berfikir dia hanya bernasib baik. Oleh sebab itu hamba pertama ini tidak memahami atau menghargai pengampunan yang diberi tuannya. Sebaliknya dia tidak mempelajari daripada kebaikan tuannya, malah enggan memaafkan dan melupuskan hutang rakan hambanya secara kejam, angkuh dan jahat sehingga memenjarakan rakannya itu. Akhirnya hamba pertama yang tidak tahu bermaafan ini juga telah dipenjarakan oleh tuannya, tuan yang marah dan benci dengan peragainya "pegawai yang jahat itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dilunaskan.

Kita sentiasa meminta pengampunan Tuhan di atas kesalahan kita, tetapi adakah kita dapat mengampunkan yang menyalahkan kita seperti mana Tuhan mengampunkan kita? Semoga kita mengambil perhatian dan diperingatkan bahawa kita juga akan berakhir dengan di penjarakan seperti hamba pertama yang tidak tahu mengampun ini, sebagai amaran Yesus: "Demikianlah Bapa Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripada kamu, jika kamu tidak mengampuni saudaramu dengan ikhlas."

Rabu, 12 Ogos 2015

Rabu Minggu Biasa Ke 19 Tahun 1

Ramai diantara kita yang inginkan penyelesaian yang cepat terhadap sesuatu masalah. Ini adalah sebab kita sudah biasa mendapatkan sesuatu dilakukan dengan cepat. Sebagai contohnya, bila kita memerlukan wang, kita hanya perlu ke ATM untuk mengeluarkan wang yang diperlukan. Kita juga mempunyai kopi segera, teh segera, mi segera dan perkara perkara lain yang segera yang sepatutnya untuk kemudahan kita. Tetapi, di dalam sesuatu perhubungan, adakah terdapatnya perhubungan segera? Adakah kita akan gembira dengan perhubungan yang secara sentuh dan pergi, atau dimana kita tidak mengenali rapat satu sama lain, atau perhubungan yang tidak mendalam yang menyerupai kenalan sahaja daripada persahabatan yang tulin? Sudah tentunya tidak. Saya percaya kita semua mahukan hubungan yang berpanjangan, sihat dan yang bermakna.

Oleh sebab itu, pembacaan Al Kitab hari ini mengingatkan kita cara bagaimana kita harus bergaul dengan orang lain, terutama pada masa menghadapi masalah atau sesuatu isu. Di dalam pembacaan hari ini, Yesus memberitahu kita, "Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah kepadanya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan hal ini dengan diam diam antara kamu berdua sahaja. Jika dia menurut kata katamu, maka kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. Tetapi jika tidak, bawalah seorang atau dua orang bersama samamu. Berbuatlah demikian kerana di dalam Alkitab tertulis, 'Tiap tiap tuduhan harus dikuatkan kesaksian dua atau tiga orang saksi.' Jika dia tidak mahu menerima nasihat mereka, beritahukan perkara itu kepada jemaah. Akhirnya jika dia masih tidak mahu menerima nasihat jemaah, anggaplah dia sebagai orang yang tidak mengenal Allah atau sebagai pemungut cukai." Ini bermakna kita tidak harus sentiasa mengharapkan sesuatu masalah diselesaikan secara segera, atau bertindak melulu dengan terus membawanya ke pihak atasan tanpa cuba menyelesaikan dengan pihak tersebut terdahulu. Oleh yang demikian, sekiranya kita menghargai sesuatu perhubungan/persahabatan, semoga kita sentiasa ingat cara kita melayani yang lain kerana kita juga ingin dilayan dengan cara yang adil, saksama dan terhormat.

Selasa, 11 Ogos 2015

Selasa Minggu Biasa Ke 19 Tahun 1

Kadang kala kita mendengar orang orang tua berkata, "Kanak kanak hanya perlu kelihatan dan tidak didengari". Bukan sekadar itu sahaja, kanak kanak sentiasa di layan mengikut kehendak, peraturan dan undang undang ibubapa, guru dan penjaga mengikut cara tertentu. Seringkali, kanak kanak tiada mempunyai hak, kerana semua yang diperolehi, semua yang diharapkan, datangnya daripada ibubapa atau penjaga. Sebagai contoh, seorang kanak kanak yang berada di sekolah tidak dibenarkan ke tandas sesuka hatinya. Dia perlu meminta kebenaran daripada guru sebelum dibenarkan ke tandas. Melihatkan sedemikian, bagaimana pula kanak kanak dianggap terbesar, seperti yang disebutkan di dalam pembacaan Al Kitab hari ini?

Di dalam pembacaan Al Kitab hari ini, Yesus memberitahu pengikut pengikutnya, "Ketahuilah! Kecuali kamu mengubah sikap dan menjadi seperti kanak kanak, kamu tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah. Orang yang dianggap terbesar antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah adalah orang yang merendahkan diri dan menjadi seperti kanak kanak." Apa yang diperkatakan oleh Yesus tidaklah bermaksud kita perlu berkelakuan seperti seorang kanak kanak. Sebenarnya, Dia memberitahu kita supaya menjadi seperti kanak kanak, dengan bergantung kepada Tuhan dan menaruhkan kepercayaan kepada segala yang diberikannya. Sebagai seorang dewasa, kita senantiasa cuba melakukan segalanya mengikut cara kita atau cuba hidup mengikut cara yang difikirkan betul, tetapi adakalanya cara yang kita lakukan dan cara hidup kita berkemungkinan tidak selalunya terbaik untuk diri kita. Oleh sebab itu Yesus menjemput kita supaya meletakkan segala kepercayaan pada Tuhan dan membiarkan Dia menjaga kita, kerana Dia tidak akan mengabaikan kita. Adakah kita sanggup menjadi seperti kanak kanak dan membenarkan Tuhan mengambilalih sepenuhnya hidup kita ini, untuk kebaikan fizikal dan rohani kita dan untuk kemuliaan kebesaranNya?

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...